Johor salur bantuan RM1,000 kepada mangsa ribut

Onn Hafiz beramah mesra dengan mangsa ribut yang ditempatkan di PPS di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya, Johor Bahru pada Sabtu.
Onn Hafiz beramah mesra dengan mangsa ribut yang ditempatkan di PPS di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menyumbang RM1,000 kepada setiap 22 keluarga selepas rumah mereka rosak dalam kejadian ribut di Rumah Pangsa Ros Merah, Johor Jaya di sini pada Jumaat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sumbangan itu bagi meringankan beban mangsa yang ketika ini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Taman Johor Jaya.

Menurutnya, satu jawatankuasa juga telah dibentuk bagi menyelaraskan penempatan sementara dan proses pembaikan rumah yang terkesan.

"Jawatankuasa ini diketuai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

"Kerajaan negeri akan berusaha agar kerja baik pulih disiapkan dan semua mangsa dapat pulang secepat mungkin," katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Khairin Nisa Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Baharuddin Mohamad Taib, ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

Dalam kejadian pada jam 1.15 petang Jumaat, 50 keluarga terjejas melibatkan enam daripada 10 blok di rumah pangsa tersebut.

Rata-rata mangsa adalah penduduk yang di tingkat empat blok terbabit dan terdapat mereka yang dipindahkan ke PPS di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya berikutan rumah mereka rosak teruk.

Artikel Berkaitan:

Selain kawasan rumah pangsa tersebut, beberapa kawasan lain turut terjejas dengan insiden pokok tumbang antaranya di Jalan Surau dan Jalan Bilal, Kampung Melayu Pandan selain Jalan Balau 15, Bandar Seri Alam, Taman Megah Ria, Taman Bukit Rinting dan Taman Rinting.