Masjid Al-Amin perlu RM2.5 juta untuk tanah kubur baharu

Ibrahim menunjukkan tanah lot yang ingin dijadikan tanah perkuburan baharu terletak di bahagian belakang Masjid Al-Amin dan tanah perkuburan lama.
Ibrahim menunjukkan tanah lot yang ingin dijadikan tanah perkuburan baharu terletak di bahagian belakang Masjid Al-Amin dan tanah perkuburan lama.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Amin Sungai Layar di sini memerlukan kira-kira RM2.5 juta untuk menguruskan pembelian dan baik pulih tanah bagi mewujudkan kawasan perkuburan baharu.

Imam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kariah, Ibrahim Ahmad berkata, ia berikutan masalah kubur yang terhad memandangkan ruang sedia ada hanya tinggal lima peratus atau boleh memuatkan kira-kira 50 jenazah.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan anak kariah sekiranya tanah kubur sedia ada penuh dalam masa singkat jika terdapat banyak kematian dalam satu-satu masa.

"Banyak kematian direkodkan terutama ketika kedatangan pandemik Covid-19, oleh itu kami perlu cepat carikan ruang kubur baharu bagi menampung keperluan anak kariah," katanya.

Jelasnya, sekiranya penuh, jenazah dari sembilan buah taman dan enam buah kampung di kariah itu terpaksa dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Mawaddah Sungai Batu, Merbok yang berjarak kira-kira lima kilometer.

"Seboleh-bolehnya, anak kariah yang terdiri daripada 5,000 penduduk sudah semestinya mahukan jenazah ahli keluarga mereka dikebumikan dalam kawasan kampung, ini memudahkan untuk pergi ziarah terutama warga emas," katanya.

Menurutnya, bagi mengatasi perkara itu, beberapa rundingan telah dilakukan termasuk membeli tanah baharu yang berkeluasan lebih 2.2 hektar sebagai salah satu penyelesaian jangka masa panjang bagi menyempurnakan proses pengebumian.

"Setakat ini, kami telah menguruskan cadangan pembelian lebih dua hektar tanah berdekatan masjid meliputi Lot 501, 502 dan 506 sebagai jaminan menyediakan tanah perkuburan kepada anak kariah untuk tempoh kira-kira 10 atau 15 tahun akan datang.

"Hasil perbincangan, kita telah membeli Lot 501dengan harga RM400,000 dan proses menambun tanah sehingga kini mencecah RM300,000.

"Jawatankuasa juga telah membayar wang deposit Lot 506 sebanyak RM40,000 dan masih berbaki RM360,000 manakala Lot 502 masih dalam proses pembelian.

"Ia berikutan situasi semasa tanah berkenaan secara keseluruhannya yang ingin dibeli berstatus sawah padi, dipenuhi paya dan semak samun serta tidak rata menyebabkan perlu proses pembersihan tanah terlebih dahulu sebelum ditambun," katanya.

Jelasnya, nilai tanah yang dibeli adalah bawah harga pasaran hasil budi bicara pemilik tanah dan keseluruhan kos yang diperlukan bagi proses pembelian dan baik pulih tanah membabitkan kira-kira RM2.5 juta.

"Kami dengan rendah diri memohon mana-mana dermawan yang ingin menyumbang bagi membantu anak kariah Masjid Al-Amin dengan menghubungi talian 011-35532786 atau melalui akaun Agro Bank bernombor 200-5141-00001770-7," katanya.

Proses pembelian dan penambunan tanah perkuburan baharu tertengguh kerana kekurangan dana.
Proses pembelian dan penambunan tanah perkuburan baharu tertengguh kerana kekurangan dana.