'Anwar bukan saingan' - Saarani

Saarani
Saarani
A
A
A

LENGGONG - Barisan Nasional (BN) Perak tidak menganggap kesediaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di negeri ini sebagai persaingan dalam merebut kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, parti itu terbuka dan sentiasa bersedia untuk menandingi mana-mana individu tanpa mengambil kira nama besar atau tidak.

Menurutnya, kesediaan yang dinyatakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga bukanlah perkara baru kerana veteran DAP, Lim Kit Siang juga pernah bertanding di Parlimen Ipoh Timur pada PRU 2004 dan 2008.

"Tidak ada (persaingan) kerana siapa sahaja yang nak bertanding, kita akan lawan, tidak ada masalah kepada kita (BN).

"Lagipun dia (Anwar) bukan perkara baru, dulu pun Lim Kit Siang pernah datang (bertanding) di Ipoh (Parlimen Ipoh Timur), jadi siapa datang bertanding di Perak, kita akan lawan," katanya ketika ditemui pemberita dalam program Hari Bertemu Rakyat DUN Kota Tampan di Dataran Tasik Raban di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar pada Khamis yang sedia mempertimbangkan pelawaan PKR Perak untuk bertanding di negeri itu pada PRU15.

Antara kerusi dicadangkan termasuklah kawasan Parlimen Tambun yang kini disandang Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Perak itu berkata, mana-mana parti yang menyatakan kesediaan bertanding mempunyai perkiraan dan strategi sendiri untuk menang.

Katanya, situasi sama bagi BN yang mahu merampas kembali kerusi Parlimen Tambun daripada pembangkang sebelum ini.

"Dimana kita nak bertanding, kita mesti nak menang.

"Kalau satu undi pun dikira menang, jadi kepada saya, BN yakin boleh memenangi Parlimen Tambun," katanya.

Pada PRU14, Ahmad Faizal yang kini Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi kerusi Tambun atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Beliau menewaskan Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah daripada BN yang menyandang kerusi berkenaan selama lima penggal sejak PRU tahun 1999.