Tiga lelaki ditahan belah balak secara haram

Mesin gergaji yang digunakan untuk membelah tual balak secara haram disita sebagai bahan bukti kes.
Mesin gergaji yang digunakan untuk membelah tual balak secara haram disita sebagai bahan bukti kes.
A
A
A

KUANTAN - Tiga lelaki ditahan ketika membelah tual balak secara haram bernilai RM80,000 dalam sebuah hutan milik kerajaan berhampiran sebuah padang golf di sini pada Khamis.

Susulan penahanan lelaki berusia 34 hingga 35 tahun itu, turut ditemui 11 tual balak jenis cengal dianggarkan bernilai RM80,000 tanpa dokumen sah.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, ketika serbuan dilakukan, dua lelaki itu sedang melakukan aktiviti membelah balak menggunakan dua mesin gergaji berantai yang diubah suai.

Menurutnya, seorang lagi mendakwa dia mengusahakan tapak semaian dan mengupah dua lelaki itu untuk melakukan kerja membelah balak terbabit.

"Hasil siasatan mendapati semua balak berkenaan tidak memiliki dokumen sah dan dipercayai ditebang dalam kawasan hutan berdekatan.

"Ia berdasarkan maklumat yang diterima mendakwa sebuah lori tanah telah digunakan untuk membawa muatan balak berkenaan ke kawasan itu pada waktu malam," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Nor Azirim berkata, anggota Unit Penguat kuasa (UPK) Zon Pahang Timur akan melakukan pemeriksaan bagi mengenal pasti lokasi hutan tempat pokok cengal berkenaan ditebang.

"Kami percaya ia terletak hampir dengan tempat penemuan longgokan balak terbabit," katanya.

Beliau berkata, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berhubung kes tersebut.

"Semua tual balak disita dan barang kes itu diletak bawah pemantauan pemantau UPK Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran," katanya.