Permohonan Clare kemuka persoalan undang-undang adalah pramatang

Clare Rewcastle-Brown - Foto Bernama
Clare Rewcastle-Brown - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memutuskan bahawa permohonan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang ingin mengemukakan persoalan undang-undang di Mahkamah Persekutuan berkaitan pertuduhan fitnah jenayah terhadapnya mengikut perlembagaan adalah bersifat pramatang.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, adalah terlalu awal untuk merujuk kes yang dihadapi wanita dari United Kingdom (UK) itu di Mahkamah Persekutuan.

Menurutnya, mahkamah belum memutuskan sama ada akan membenarkan kes itu dipindahkan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di sini.

“Oleh itu, saya mengarahkan permohonan pemindahan itu didengar dan diputuskan terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum ini, Clare mengemukakan persoalan undang-undang sama ada Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan adalah mengikut perlembagaan dan boleh dikuatkuasakan dalam prosiding jenayah.

Jika kedua-dua seksyen itu tidak boleh dibawa selaras dengan perlembagaan bawah Perkara 162(1), maka mahkamah diberi kuasa untuk memansuhkan peruntukan itu.

Pada 23 September 2021, Clare didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Artikel Berkaitan:

Pada Mac lalu, media melaporkan Clare memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini bagi membatalkan pertuduhan dengan alasan, dakwaan tersebut bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Clare dalam permohonannya mempersoalkan Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan adalah mengikut perlembagaan dan boleh dikuatkuasakan dalam prosiding jenayah.

Pada 21 November 2018, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah terhadap Clare, penerbit buku tersebut, Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd selaku defendan pertama hingga ketiga.

Baginda menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap defendan dan memohon perintah terhadap defendan kedua (penerbit) menarik balik buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah dan terhadap defendan ketiga supaya berhenti mencetak buku itu seterusnya.

Dalam perbicaraan kes saman sivil yang dibicarakan secara dalam talian pada 1 Ogos lalu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Americk Singh Sidhu, Tuanku Nur Zahirah bertitah bahawa baginda tidak faham kerana namanya disebut oleh Clare dengan mengaitkannya dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Sultanah Nur Zahirah juga menyatakan baginda tidak pernah masuk campur dalam isu berkaitan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu atau (TIA).