Ibu tunggal didenda RM8,000 buat hantaran jelik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang ibu tunggal membuat kenyataan jelik di laman sosial mengenai majlis solat hajat pada awal Covid-19 berlaku dua tahun lalu, mengundang padah apabila dia didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.

Hong Jia Ming, 34, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Menurut pertuduhan, OKS melalui profil Facebook Joyceanne Hong, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya di ruang undian laman sosial itu, dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Kesalahan didakwa dilakukan pada jam 9.22 malam, 12 Mac 2020 dan hantaran itu dibaca pada jam 12.41 tengah hari keesokan di Masjid Muadz Bin Jabal, Wangsa Maju.

Jia Ming didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, peguam, Haijan Omar yang mewakili OKS, merayu agar anak guamnya diberi hukuman yang ringan dengan alasan mempunyai masalah jantung serta perlu menyara seorang anak lelaki berusia sembilan tahun.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Jia Ming masih muda dan kini bekerja sebagai perunding swasta dengan pendapatan RM12,000 sebulan.

Beliau juga memohon, anak guamnya dikenakan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 173A Kanun Prosedur Jenayah (CPC) atau dikenakan hukuman ringan.

“Hantaran itu disiarkan selama 24 jam tetapi dibuat untuk tatapan rakan-rakan Facebook OKS sahaja.

“Jika dilihat pada hantaran itu, dia tidak berniat jahat sebaliknya mahu mengelak Covid-19 daripada terus tersebar,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang bagaimanapun memohon hukuman berbentuk pengajaran dan setimpal kepada OKS.

“Hantaran itu adalah jelik dan menyakitkan hati orang lain, meskipun diletakkan di ruang ‘Facebook Story’, ia kekal dalam akaun media sosial tersebut malah mendapat sambutan daripada rakan-rakan Facebook OKS.

“Hantaran itu boleh mengganggu keharmonian amalan beragama kerana negara kita mempunyai latar belakang masyarakat majmuk,” katanya.