Segera gubal undang-undang baharu tangani buli siber: PBM

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) menggesa agar kerajaan segera menggubal undang-undang baharu bagi menangani buli siber di negara.

Ketua Wanita Muda Nasional PBM, Munira Abu Bakar berkata, tragedi membabitkan kematian seorang ibu tunggal yang didakwa dibuli di media sosial merupakan satu peringatan bahawa pentingnya Malaysia mempunyai undang-undang tersebut.

“PBM berasa amat kesal dengan kes bunuh diri seorang TikToker dari Subang Jaya baru-baru ini yang dipercayai telah menjadi mangsa buli siber. Bagi pihak PBM, kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Dalam hal ini, PBM menggesa kerajaan untuk segera menggubal undang-undang untuk mengatasi ancaman ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Munira, berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia menduduki tempat kedua di Asia bagi buli siber dalam kalangan belia pada 2020.

Malah katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menerima 6,598 aduan awam berkaitan gangguan dalam talian dari 2020 hingga Julai 2021.

“Justeru, kerajaan tidak seharusnya mengetepikan masalah yang kian meruncing ini kerana belia hari ini adalah masa depan negara.

“Undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan tidak mencukupi untuk menangani masalah ini.

“Kerajaan memerlukan undang-undang khusus untuk menghantar mesej jelas bahawa buli siber bukan sahaja tidak boleh diterima, pelakunya akan dikenakan tindakan undang-undang yang keras,” katanya.

Selain memperkenalkan undang-undang baharu, Munira berkata, kerajaan juga harus menyediakan platform untuk mangsa buli siber mendapatkan bantuan, termasuk talian hotline buli siber nasional 24 jam yang dikendalikan oleh profesional terlatih.

Menurutnya, mangsa juga wajar mempunyai akses mudah kepada kaunselor untuk sesi bersemuka serta diajar etika dalam talian dan cara respons apabila berdepan dengan pembuli dalam talian.

“Langkah-langkah ini boleh membantu mengurangkan masalah buli siber di negara ini dan menjadikan belia Malaysia membesar dalam persekitaran yang lebih kondusif demi masa hadapan mereka,” katanya.