Bencana Gombak Utara dibawa dalam MTES

Loy Sian (kanan) meninjau keadaan PPS Dewan Orang Asli Batu 12 di sini, petang tadi.
Loy Sian (kanan) meninjau keadaan PPS Dewan Orang Asli Batu 12 di sini, petang tadi.
A
A
A

GOMBAK - Pejabat Tanah dan Daerah Gombak akan membentangkan laporan bencana ribut Gombak Utara yang berlaku minggu lepas dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), esok (Khamis).

Exco Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, dalam kejadian tersebut sebanyak 142 rumah terjejas termasuk 20 rumah orang asli yang mana lima daripadanya dilaporkan mengalami kerosakan teruk.

"Antara perkara utama yang akan dibincangkan esok termasuk isu pampasan, peruntukan baiki rumah dan ketetapan tempoh mangsa menduduki Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Orang Asli Batu 12 yang mungkin dilanjutkan sehingga kerja baik pulih selesai.

"Saya berharap penduduk dapat bersabar. Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan mengikut prosedur dan jenis kerosakan. Jika melibatkan bantuan baik pulih rumah kerosakan kecil sebanyak RM5,000, sederhana RM20,000 dan kritikal sebanyak RM50,000 akan disalurkan," katanya ketika lawatannya ke PPS Dewan Orang Asli, Batu 12, di sini.

Dalam kejadian Khamis lalu, hujan lebat disertakan ribut menyebabkan insiden pokok tumbang menghempap rumah termasuk lima daripadanya di Pondok Penyayang Raudah Batu 11, di sini.

Susulan itu, lapan dilaporkan cedera termasuk seorang daripadanya kritikal.

Jelas Loy Sian, Gombak Utara adalah lokasi ketiga dilanda ribut selepas Tanjong Karang dan daerah Petaling, tahun ini.

"Kejadian ribut kali ini juga antara terburuk kerana melibatkan kerosakan dan kecederaan. Lawatan hari ini adalah bagi mengumpul maklumat untuk dibawa dalam MTES," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini seramai 101 mangsa melibatkan 23 keluarga masih ditempatkan di PPS sejak Khamis lalu.