Piala FA: Kelantan United FC singkir Sabah

Fakhrulzaman (depan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan sekali gus membantu Kelantan United FC menumpaskan Sabah 1-0 pada aksi pusingan kedua Piala FA di Kota Bharu, sebentar tadi.
Fakhrulzaman (depan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan sekali gus membantu Kelantan United FC menumpaskan Sabah 1-0 pada aksi pusingan kedua Piala FA di Kota Bharu, sebentar tadi.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan United FC mencipta kejutan apabila menyingkirkan Sabah menerusi kemenangan tipis 1-0 pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

Jaringan tunggal penyerang sensasi, Fakhrulzaman Wan Abdullah Zawawi pada awal permainan sudah memadai untuk mengecewakan pasukan daripada Liga Premier itu sekali gus membolehkan skuad kendalian Zahasmi Ismail melangkah penuh bergaya ke pusingan ketiga.

Tuan rumah yang melakukan sepakan mula terus melancarkan serangan tetapi gerakan menarik Elano Zozimar terkandas dalam kotak penalti seawal minit ketiga disusuli percubaan Fakhrulzaman Wan Abdullah Zawawi terus ke dakapan Rozaimie Rohim, seminit kemudian.

Bagaimanapun tanpa diduga Kelantan United FC berjaya memecahkan kebuntuan apabila sepakan percuma yang dilakukan Fakhrulzaman terus menerjah jaring penjuru sebelah kiri untuk mendahului 1-0, pada minit keenam.

Tersentak dengan jaringan itu, pelawat kembali menyusun permainan dan tampak mula berjaya mengimbangi rentak pemain tuan rumah menerusi gerakan kedua-dua belah sayap mereka.

Hasilnya pada minit ke-17, Sabah berpeluang menyamakan kedudukan tetapi percubaan Ricco Nigel Milus melewati palang disusuli tandukan Rodoljub Paunovic turut tersasar, empat minit kemudian.

Skuad Tambadau terus melancarkan serangan namun tandukan Luka Milunovic pada minit ke-41 diselamatkan Mohd Shahrizan Ismail sebelum penjaga gol veteran Kelantan United FC sekali lagi bertindak pantas menggagalkan usaha Randy Baruh, seminit sebelum babak pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, pelawat menampilkan corak serangan lebih agresif tetapi usaha mereka untuk mendapatkan gol penyamaan masih buntu setelah bola tendangan percuma Milunovic diselamatkan Mohd Shahrizan, pada minit ke-56.

Artikel Berkaitan:

Malah Sabah sekali lagi gigit jari apabila sepakan bebas Milunovic dari luar kotak penalti menggegar palang ketika Mohd Shahrizan tertewas diposisinya, pada minit ke-64.

Minit-minit akhir pelawat terus melancarkan serangan bertubi-tubi namun Kelantan United FC berjaya menyerap asakan dan keputusan 1-0 kekal memihak tuan rumah sehingga wisel penamat dibunyikan.