Sabah FC benam Kelantan United 3-0

Stuart (kiri) menyumbang satu gol pada perlawanan di Kota Bharu pada Isnin.
Stuart (kiri) menyumbang satu gol pada perlawanan di Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

PENGENDALI baru Kelantan United FC, Ailton Dos Santos bermula dengan langkah kiri apabila pasukan kendaliannya dijinakkan Sabah FC, 3-0 di laman sendiri pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini pada Isnin.

Babak pertama perlawanan bermula perlahan apabila Sabah menguasai bola dan beberapa kali berjaya melepasi benteng tuan rumah namun gagal menemukan gol.

Kelantan United yang merampas bola di hadapan pintu gol lawan mencuba nasib menerusi tendangan Jose Elmer Porteria namun pantas ditepis Khairul Fahmi Che Mat pada minit-15.

Pelawat terus mengatur gerak di bahagian sayap kanan akhirnya menghasilkan gol pertama dari sepakan pemain jersi 67, Saddil Ramdani yang menerjah gawang minit-23.

Gandingan Saddil (kiri) dan Stuart (tengah) menghasilkan tiga gol ketika berdepan Kelantan United.
Gandingan Saddil (kiri) dan Stuart (tengah) menghasilkan tiga gol ketika berdepan Kelantan United.

Gol pertama mengubah mood perlawanan lebih hangat dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan.

Tiga minit masa kecederaan, pelawat menambah jaringan menerusi import, Stuart John Wilkin yang berjaya melepasi penjaga gol, Muhamad Ilham Amirullah Ghazali selepas menerima bola hantaran Saddil.

Separuh masa pertama tamat, Sabah mendahului, 2-0.

Bermula babak kedua, Gary Steven Robbat nyaris menambah derita Sang Kijang Hijau menerusi sepakan jauh namun terus ke dakapan Muhamad Ilham Amirullah Razali.

Minit ke-61, kapten pasukan Baddrol Bakhtiar bijak mengambil hantaran Saddil yang menggelecek mengatasi pertahanan lawan menghasilkan gol ketiga Sabah.

Masa tambahan empat minit tidak mengubah kedudukan apabila keputusan kekal Sabah-3, Kelantan United-0.