Saman wakil syarikat asing jika terlibat 'songlap' dana LCS

Tangkap layar Facebook Najib
Tangkap layar Facebook Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Wakil syarikat asing yang terbabit dalam pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) perlu disaman sekiranya mereka benar-benar menyalahgunakan dana projek tersebut seperti didakwa Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, kata Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Perdana Menteri itu menyatakan tidak mempunyai sebarang masalah jika siasatan penuh dilakukan terhadap pihak terbabit.

Beliau turut mengulangi kenyataannya yang menafikan sebarang penglibatan dalam isu tersebut.

“Baiklah sekiranya Rafizi tuduh bahawa orang asing iaitu wakil Rheinmetall (Air Defense) AG (RAD) terlibat dalam songlap dalam projek LCS. Siasat sepenuh-penuhnya sebab saya langsung tak pernah terlibat dalam isu ini.

“Sekiranya wakil-wakil asing tersebut terbukti songlap, maka kita patut saman syarikat Rheinmetall AG untuk membayar pampasan sebanyak RM10 bilion sebab 'songlap' duit kita dan menyebabkan projek LCS menjadi lambat.

“Sebab syarikat Rheinmetall adalah syarikat dengan nilai pasaran sebanyak 7.08 bilion Euro (RM32.5 bilion), iaitu sekitar 300 kali ganda lebih besar daripada nilai pasaran Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) sebanyak RM113 juta,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.

Rafizi pada Khamis berkata, adalah tidak logik untuk sesebuah syarikat yang memiliki pegangan saham majoriti terhadap sesebuah entiti perniagaan untuk menyerahkan kawalan pengurusan kepada pihak lain.

Ia selepas beliau mendakwa RAD memiliki kawalan pengurusan terhadap subkontraktor Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD), syarikat terlibat dalam projek LCS, meskipun BHIC merupakan pemegang saham majoritI CAD.

Katanya, Pengerusi Lembaga Pengarah BHIC yang bersetuju dengan keputusan tidak ‘masuk akal’ itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, individu diketahui umum rapat dengan Najib.

Dalam pada itu, Najib berkata, aturan dan pelantikan individu daripada negara luar bukan perkara baharu dalam tadbir urus syarikat perniagaan di dalam negara.

“Wakil syarikat Jerman disebut Rafizi adalah Gordon Hargreave (Ketua Pegawai Eksekutif CAD), dan Luitjen Rolf Ennega (Ketua Pegawai Kewangan CAD) yang kemudian ditukar dengan Frank Hoffmann.

“(Ini bukan perkara tak pernah berlaku. Di dalam gabungan Celcom-Digi yang bermula dan diluluskan zaman Pakatan Harapan (PH) juga, pengurusan syarikat gabungan itu diketuai oleh orang asing yang merupakan wakil Digi/Telenor manakala Pengerusi ialah dari Axiata biarpun Axiata mempunyai pegangan saham yang lebih besar,” ujarnya.

CAD merupakan syarikat subkontraktor yang dilantik oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), iaitu kontraktor utama dalam projek LCS.

Rafizi pada Selasa mendakwa wujud perancangan awal dalam projek LCS untuk menyembunyikan pembabitan DCNS, iaitu syarikat sering dikaitkan dengan Najib melalui pelantikan tiga lapis subkontraktor dalam projek tersebut membabitkan CAD dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED).

Menurut Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan itu, CAD mengeluarkan surat lantikan (LOA) kepada DCNS untuk membekalkan kerja-kerja dalam dua pakej berkaitan perbekalan dan pembinaan berjumlah RM1.185 bilion.