Isu LCS: Rafizi dedah ada rancangan awal lindungi DCNS

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli meneruskan siri pendedahan berhubung isu projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan mendakwa terdapat perancangan awal untuk menyembunyikan penglibatan Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS) dalam skandal berkenaan.

Rafizi berkata, kerajaan sewajarnya melantik DCNS secara terus sekiranya benar syarikat itu merupakan pembekal utama kepakaran, reka bentuk dan pembinaan kapal LCS sepertimana yang dibuat semasa projek kapal selam Scorpene.

“Sebaliknya bagi projek LCS, kerajaan Malaysia melantik Boustead Naval Shipyard (BNS) sebagai kontraktor utama yang kemudiannya melantik syarikat-syarikat lain sebagai sub-kontraktor.

“Walaupun keputusan ini dijelaskan sebagai usaha untuk membantu veteran tentera (kerana BNS milik Boustead yang dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera, LTAT) dan membina kepakaran tempatan, tindakan melantik lagi dua lapis sub-kontraktor sebelum sampai kepada pembekal akhir, iaitu DCNS, membayangkan ada unsur-unsur penyelewengan dari awal.

“Setelah dilantik menjadi kontraktor kapal perang LCS melalui surat lantikan (LOA) bertarikh 16 Disember 2011, BNS mula melantik sub-kontraktor bagi pakej-pakej utama perbekalan dan pembinaan kapal perang LCS,” katanya menerusi catatan di laman web www.rafiziramli.com pada Selasa.

Rafizi berkata, pada 9 April 2012, BNS telah mengeluarkan dua LOA bagi dua pakej utama untuk melantik sub-kontraktor melibatkan jumlah keseluruhan RM1.185 billion, yang mana kedua-duanya diberikan kepada Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD).

Beliau mendedahkan, pada hari sama BNS melantik CAD sebagai sub-kontraktor bagi dua pakej berkenaan, BNS turut membenarkan CAD melantik syarikat bersekutunya Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) sebagai sub-kontraktor.

“Keputusan BNS membenarkan CAD melantik CED sebagai sub-kontraktor dikeluarkan pada hari yang sama surat LOA kepada CAD, iaitu pada 9 April 2012. CED pula mengeluarkan LOA kepada DCNS untuk membekalkan kerja-kerja dalam dua pakej berjumlah RM1.185 bilion yang perlu dibayar kerajaan Malaysia.

“Malangnya, siasatan menunjukkan bagi dua pakej ini yang dimuktamadkan pada harga RM1.185 bilion dengan kerajaan Malaysia, LOA dari CED (sub-kontraktor lapis kedua) kepada DCNS meletakkan kos sebanyak RM397 juta sahaja.

“Maknanya, bagi kerja-kerja yang akan diinvois oleh DCNS kepada CED sebanyak RM397 juta, tuntutan dari sub-kontraktor CED dan CAD kepada kerajaan Malaysia (melalui BNS) adalah tiga kali ganda lebih mahal,” katanya.

Dalam pada itu Rafizi turut meyindir cubaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengalihkan perhatian terhadap isu berkenaan yang dianggapnya sangat lemah.

Katanya, Najib sentiasa memberi gambaran seolah-olah semuanya bersabit kelemahan birokrasi akibat keputusan Pakatan Harapan (PH) menyiasat projek tersebut, selain cuba menipu pengikutnya bahawa skandal berkenaan tiada unsur rasuah.

“Kanak-kanak pun boleh membuat kesimpulan ada tangan-tangan ghaib di belakang syarikat-syarikat BNS, CAD dan CED yang menyusun kontrak-kontrak perbekalan hingga mengambil komisen 200 peratus dari kos yang dicaj DCNS.

“Rakyat ingin tahu siapa jerung-jerung yang merompak wang rakyat dan melemahkan pertahanan negara sedemikian rupa.

“Persoalan utama, siapakah kepala jerung yang mempunyai kuasa mengarahkan dan melindungi pegawai-pegawai tertentu dalam BNS untuk melakukan rompakan di siang hari seperti ini? Saya tunggu komen Najib Razak,” katanya.