Dasar monetari pastikan ringgit, pasaran kewangan stabil

Tengku Zafrul pada sesi soal jawab sempena Persidangan Dewan Negara di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Tengku Zafrul pada sesi soal jawab sempena Persidangan Dewan Negara di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan proaktif memastikan kestabilan ringgit dan pasaran kewangan, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Khamis.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) memelihara kestabilan kewangan domestik melalui pelaksanaan dasar monetari berhemat, termasuk meminimumkan pendedahan hutang Kerajaan Persekutuan terhadap risiko turun naik pertukaran mata wang melalui penetapan had pinjaman luar negeri.

"Kita juga memastikan dasar pertukaran fleksibel kekal menjadi barisan pertahanan pertama Malaysia untuk menyerap kejutan luaran dan pada masa yang sama memastikan aktiviti pinjaman domestik terus disokong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jefridin Atan mengenai langkah kerajaan untuk meminimumkan impak langkah pengetatan monetari yang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut mengekalkan kekukuhan rizab antarabangsa BNM yang dianggarkan berjumlah AS$109 bilion (AS$1=RM4.44) sebagai penampan mudah tunai bagi memastikan pelarasan kadar pertukaran ringgit yang teratur terutamanya semasa tempoh aliran modal yang besar dan tidak menentu.

"Yang terakhir, kita mesti memastikan institusi perbankan Malaysia kekal berdaya tahan terhadap risiko luaran dan domestik melalui amalan pengurusan risiko yang mantap,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, nilai ringgit menurun sebanyak 6.5 peratus berbanding dolar AS sejak Januari hingga 9 Ogos, 2022, sejajar dengan pergerakan mata wang serantau dan negara maju.

Beliau berkata, pelbagai mata wang negara lain turut menyusut pada kadar yang lebih tinggi berbanding dolar AS dalam tempoh yang sama.

"Ia termasuk negara jiran kita di Asia seperti Korea yang telah jatuh sebanyak sembilan peratus, United Kingdom, Eropah, Jepun serta negara-negara yang lebih dekat dengan kita seperti Filipina,” katanya.

Prestasi nilai ringgit perlu dilihat secara menyeluruh, katanya sambil menambah bahawa secara puratanya, kadar pertukaran ringgit tidak terlalu terkesan berbanding mata wang rakan dagangan Malaysia.

Menurut Tengku Zafrul, terdapat beberapa faktor luaran yang menyebabkan nilai ringgit merosot sejajar dengan kebanyakan mata wang utama dan serantau lain.

"Pertama, peningkatan mendadak dalam tekanan inflasi terutamanya di AS yang mana kita dapat lihat inflasi naik kira-kira sembilan peratus yang telah mendorong Fed serta beberapa bank pusat untuk meningkatkan kadar dasar dengan lebih pantas yang boleh menjurus kepada persekitaran kewangan global yang lebih ketat.

"Faktor kedua ialah keadaan geopolitik di Rusia dan Ukraine, manakala faktor ketiga adalah kelembapan ekonomi China, kerana China iaitu rakan dagangan utama Malaysia dan polisi Covid-19 yang begitu konservatif telah menyebabkan rangkaian bekalan agak terganggu,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Md Nasir Hashim berkenaan faktor-faktor luaran lain yang dijangka menyebabkan nilai ringgit terus merosot selain faktor pengukuhan dolar AS. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!