Cukai tanah Pahang ketiga terendah fakta tidak tepat

Chean Chung
Chean Chung
A
A
A

KUANTAN - Dakwaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bahawa cukai tanah di Pahang bagi kategori industri adalah ketiga rendah di negara ini adalah fakta kurang tepat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Lee Chean Chung berkata, ini kerana cukai tanah di Pahang mengalami kenaikan 2,000 peratus selepas pewartaan dibuat berhubung penstrukturan semula cukai tanah pada 31 Oktober 2019.

“Pada saya fakta (cukai ketiga terendah di negara ini) yang diberikan Menteri Besar Pahang kurang tepat.

“Sebagai contoh, tanah perindustrian di kawasan Gebeng dengan mengalami kenaikan kadar cukai tanah daripada 25 sen kepada RM5 setiap meter persegi.

“Cuma pada awal tahun lalu, kerajaan Pahang mengumumkan remisyen sebanyak 80 peratus bagi kategori tanah perindustrian dan pertanian. Namun begitu, peningkatan selepas remisyen masih ketara iaitu sebanyak 400 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Wan Rosdy mendedahkan kadar cukai tanah khususnya bagi kategori perindustrian yang dikenakan kerajaan Pahang adalah yang ketiga terendah berbanding negeri lain dalam negara ini.

Menurutnya, kadar cukai yang rendah ini diharap dapat menarik pelabur dan secara tidak langsung meningkatkan ekonomi negeri.

Dalam pada itu, Chean Chung berkata, remisyen ini hanya pengecualian bersifat sementara sahaja.

Katanya, ia sebenarnya bergantung kepada budi bicara kerajaan Pahang dan pengecualian ini boleh ditarik balik pada bila-bila masa dengan sebatang pen sahaja.

“Sekiranya terdapat perubahan politik, rombakan pimpinan ataupun pertukaran dasar, adakah Menteri Besar sekarang berani berjanji bahawa remisyen ini akan kekal?

“Tepuk dada tanya selera, adakah kaedah remisyen yang mencetuskan ketidaktentuan dan keraguan ini betul-betul dapat memberikan keyakinan kepada pelabur asing dan domestik?” soalnya.

Dalam pada itu, Chean Chung mendedahkan bahawa kerajaan Pahang juga mengalami pelbagai kos tersurat dan tersirat yang tinggi.

Katanya, sebagai contoh, fi pendaftaran pindah milik tanah telahpun naik mendadak dan juga terikat dengan talian hayat remisyen yang diberikan oleh kerajaan Pahang.

“Untuk hartanah bernilai RM500,000, fi pendaftaran Pahang yang terkini adalah RM2,500, manakala ianya hanya RM2,000 untuk Johor, RM1,000 untuk Pulau Pinang dan RM400 untuk Selangor.

“Untuk hartanah bernilai RM1 juta, kerajaan Pahang mengenakan fi RM3,500, manakala Johor RM3,000, Pulau Pinang RM2,250, dan Selangor kekal RM500,” katanya.

Beliau menambah, jika kerajaan Pahang berhajat untuk memberangsangkan ekonomi Pahang suara pelabur, peniaga asing dan tempatan termasuk pandangan dewan-dewan perniagaan dan persatuan industri harus didengar dan diteliti.

“Kalau boleh Semak dan tambah baik segera sekiranya perlu sebelum terlepas peluang pembangunan dan kemajuan kita kepada Melaka, Perak, Jakarta dan Phnom Penh,” katanya.