Pemandu lori ditahan cuba seleweng minyak diesel bersubsidi

KPDNHEP Perak menyita minta diesel bersubsidi sebanyak 1,400 liter yang diseleweng dalam satu operasi di sebuah stesen minyak di Pusing, Batu Gajah, pada Rabu.
KPDNHEP Perak menyita minta diesel bersubsidi sebanyak 1,400 liter yang diseleweng dalam satu operasi di sebuah stesen minyak di Pusing, Batu Gajah, pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak berjaya mematahkan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi berjumlah 1,400 liter di sebuah stesen minyak di Pusing, Batu Gajah pada Rabu.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, kejayaan tersebut dilakukan menerusi satu operasi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan yang dijalankan pihaknya sekitar jam 2.30 petang berdasarkan maklumat orang awam dan intipan selama dua minggu.

Menurutnya, menerusi pemeriksaan yang dijalankan di lokasi kejadian, sebuah lori bertutup kanvas yang sedang diisi minyak diesel di stesen tersebut dan terdapat cecair yang disyaki diesel disimpan di dalam dua buah tangki plastik di atas lori berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati saluran tangki asal minyak lori terbabit telah diubah suai salurannya dan disambungkan dengan dua buah tangki berkenaan.

"Pemandu lori tersebut juga tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit yang sah bagi membeli minyak diesel," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis.

Beliau berkata, susulan itu pihaknya telah menahan pemandu lori berumur 41 tahun untuk siasatan lanjut manakala minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM14,160 turut disita.

Menurut Saifullizan, pihaknya juga telah mengambil tindakan ke atas stesen minyak terbabit kerana menjual barang kawalan kepada individu yang tidak mempunyai permit yang sah.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai dan pengusaha stesen minyak bahawa mana-mana pihak yang hendak membeli petrol dan diesel bagi tujuan selain daripada mengisi minyak ke dalam kenderaan, perlu mendapatkan Permit Khas yang dikeluarkan oleh KPDNHEP.

Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti tersebut boleh terus ke mana-mana cawangan KPDNHEP berdekatan untuk membanteras aktiviti penyelewengan itu dan mengelakkan berlakunya ketirisan subsidi kerajaan.