Isu LCS: PAC sambut baik keputusan Kabinet terima syor

Wong Kah Woh
Wong Kah Woh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyambut baik keputusan Kabinet pada Rabu untuk menerima pakai dua syor paling penting dalam Laporan Perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS), kata Pengerusinya Wong Kah Woh.

Wong berkata dua syor itu adalah berhubung tindakan menyahklasifikasi Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta keperluan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan segera ke atas penemuan Laporan PAC, Laporan JKSTUPKK dan Laporan Pengauditan Forensik.

"Keputusan Kabinet yang proaktif terhadap syor dikemukakan PAC membuktikan pentingnya usaha yang dilakukan jawatankuasa ini bagi memastikan segala tatacara dan perolehan kewangan kerajaan dipatuhi demi kepentingan rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.

Wong berkata PAC akan terus memantau pematuhan dan pelaksanaan lain-lain syor PAC dalam Laporan Perolehan Kapal LCS.

Terdahulu, Jemaah Menteri menggesa SPRM supaya menyegerakan siasatan berhubung isu LCS.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri juga memutuskan agar Laporan JKSTUPKK dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

Selain itu, Jemaah Menteri juga mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada 2019 dinyahklasifikasikan namun proses itu perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu. - Bernama