Skandal LCS: Bersatu serah memorandum kepada Agong tubuh RCI

Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim (dua dari kiri) di Istana Negara pada petang Rabu.
Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim (dua dari kiri) di Istana Negara pada petang Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menyerahkan memorandum bagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) menyiasat skandal kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketua Parti Pribumi Bersatu Bahagian Segambut, Mahathir Md Rais berkata, kandungan utama memorandum berkenaan adalah bagi memohon limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar RCI dapat ditubuhkan untuk menyiasat kes berkenaan.

Menurutnya, RCI ialah jalan terbaik kerana ia boleh menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan berwibawa.

“Memorandum berkenaan telah disampaikan kepada Setiausaha Sulit Kanan Kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim petang tadi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, antara yang hadir menyerahkan memorandum berkenaan, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

“Kita tahu nama-nama yang disebut dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ada yang amat berpengaruh terhadap kerajaan dalam isu LCS, jadi RCI adalah jalan bagi menyelesaikan seterusnya mengenai pasti mereka yang bertanggungjawab kerana itu adalah wang rakyat,” katanya.

Mahathir berkata, apa yang berlaku akan menyebabkan negara makin mundur dan siasatan juga harus juga melibatkan penjawat awam yang terlibat.

“Kali ini siasatan harus dilakukan secara menyeluruh bukan hanya melibatkan orang politik sahaja,” katanya.

Menurutnya, amat memalukan negara masih dibelenggu dengan isu integriti yang tidak sepatutnya timbul tatkala negara negara di rantau ini mempersiapkan aset ketenteraan yang berteknologi tinggi.

“Apabila timbul isu sebegini rakyat berasa khuatir dan bimbang kerajaan yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan negara menunjukkan prestasi yang berada di tahap tidak meyakinkan,” katanya.