Tiga mayat nelayan ditemui

Tiga mayat mangsa tragedi bot karam di perairan Pulau Redang tiba di jeti Maritim Terengganu jam 6.30 petang, pada Rabu.
Tiga mayat mangsa tragedi bot karam di perairan Pulau Redang tiba di jeti Maritim Terengganu jam 6.30 petang, pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga mayat mangsa tragedi bot nelayan karam di perairan Pulau Redang dijumpai di lokasi berlainan pada jarak antara 1.7 hingga 1.9 batu nautika dari pulau berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa, Saludin Ismail, 50; Mohd Nazri Abu Bakar, 48 dan Zulkifli Umar, 48 ditemukan sekitar jam 11 pagi hingga 1.30 tengah hari oleh nelayan setempat, pada Rabu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli, berkata, setakat ini dua lagi mangsa iaitu Ahmad Zamri Ishak, 66 dan Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49 masih belum dijumpai.

"Ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Jeti Maritim Terengganu oleh Kapal Maritim (KM) Redang sekitar jam 6.30 petang untuk tindakan lanjut," katanya.

/>

Ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Jeti Maritim Terengganu oleh Kapal Maritim (KM) Redang sekitar jam 6.30 petang.
Ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Jeti Maritim Terengganu oleh Kapal Maritim (KM) Redang sekitar jam 6.30 petang.

Dalam pada itu, beliau berkata, radius pencarian bagi operasi Carilamat yang memasuki hari kedua pada Rabu diperluaskan hingga 242 batu nautika.

Jelas beliau, beberapa aset telah digerakkan awal pagi tadi seperti Kapal Maritim (KM) REDANG, pesawat Bombardier CL415 serta turut dibantu oleh lebih 10 bot nelayan tempatan.

"Pengkalan hadapan Carilamat ditubuhkan di Pulau Redang. Usaha pencarian turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Usaha pencarian di laut pada hari kedua ditangguhkan sekitar jam 7 petang kerana keadaan cuaca gelap dan akan disambung pada Khamis," katanya.

Mengulas mengenai punca kejadian, katanya, keadaan cuaca tidak menentu dipercayai antara punca bot tersebut karam.

"Berdasarkan maklumat daripada seorang mangsa yang terselamat, keadaan ribut, angin kuat serta cuaca tidak menentu menyebabkan bot dinaiki mereka karam.

"Justeru, kita menyeru kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang ingin melakukan aktiviti di laut menitik beratkan aspek keselamatan

dan menyalurkan maklumat mengenai kecemasan ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357, " katanya.