Bekas pegawai kanan SPRM pilih bertani selepas bersara

Tanaman cili yang diusahakan Shamsun Baharin sudah boleh dituai dan dipasarkan sebagai pendapatan sampingan sebagai pesara kerajaan.
Tanaman cili yang diusahakan Shamsun Baharin sudah boleh dituai dan dipasarkan sebagai pendapatan sampingan sebagai pesara kerajaan.
A
A
A

PARIT - Jika kebanyakan pesara kerajaan berjawatan tinggi memilih untuk memegang jawatan di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selepas tamat perkhidmatan, lain pula ceritanya bagi seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil yang merupakan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM memilih menceburi bidang pertanian selepas bersara berbanding menyambung khidmat di GLC mahupun syarikat korporat yang lain.

Menurutnya, minat dalam bidang pertanian timbul selepas melihat kejayaan beberapa rakan yang telah menuai hasil dengan tanaman rock melon di Johor Bahru.

"Saya fikir apabila sudah bersara kena ada aktiviti sebab masa dalam perkhidmatan kita aktif buat kerja ke sana ke mari.

Saya pula tak minat lagi kerja ikut masa pejabat dan tak mahu terikat, sebab itu saya buat keputusan untuk ceburi bidang pertanian.

"Kebetulan di kampung ada tanah pusaka yang terbiar.

Jadi, daripada tak diusahakan, saya gunakan untuk tanam cili kira-kira 1,000 pokok dan hasilnya sudah pun boleh dituai," katanya kepada Sinar Harian.

Shamshun Baharin berkata, kebun yang terletak di Kampung Tanjung Ara, Jalan Seputeh-Parit, di sini diusahakan sendiri bersama isteri dengan bantuan serta kepakaran orang tempatan.

Shamsun Baharin (kanan) menunjukkan hasil tanaman cili yang diusahakan sambil disaksikan Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek di kebunnya di Kampung Tanjung Ara, Jalan Seputeh-Parit, di sini.
Shamsun Baharin (kanan) menunjukkan hasil tanaman cili yang diusahakan sambil disaksikan Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek di kebunnya di Kampung Tanjung Ara, Jalan Seputeh-Parit, di sini.

Menurutnya, selain mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), usaha tani yang dijalankan itu turut mendapat nasihat daripada Institut Agro Usahawan (IGROW) dan rakan-rakan yang mengusahakan tanaman cili di sebuah surau di Puchong, Selangor.

"Saya amat terhutang budi dengan mereka kerana bantuan tersebut membolehkan saya terlibat secara langsung di dalam sektor pertanian.

Selepas ini, saya berhasrat untuk mencuba tanaman lain antaranya terung.

"Untuk jangka masa panjang, jika ada mana-mana asnaf atau belia tempatan yang nak usaha dan gunakan kemudahan ini untuk bercucuk tanam, saya sedia untuk membantu mereka," katanya yang berkhidmat selama 37 tahun dengan suruhanjaya tersebut.

Menurut Shamsun Baharin, semua pihak terutama anak muda dan pesara kerajaan harus terlibat dalam pertanian kerana akses untuk mendapatkan ilmu dan pengetahuan sektor berkenaan lebih mudah.

Jelasnya, perkara itu juga amat bertepatan dengan usaha kerajaan ketika ini bagi menangani krisis jaminan bekalan makanan negara.