Lynas: Pemimpin PH disaran elak kritik sesama sendiri

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin PH perlu mengubah mentaliti pembangkang dan mengelakkan diri dari mengkritik secara terbuka ahli Kabinet bagi memastikan integriti dan kredibiliti kerajaan terjaga.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, Ahli Parlimen PH juga tidak perlu terikut-ikut gelagat pemimpin pembangkang yang mahu mengejar populariti.

“Akhir-akhir ini kita dapat lihat banyak insiden membabitkan menteri PH dikritik ahli Parlimennya sendiri termasuk terbaru Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof.

“Tidak manis bila ahli Parlimen PH seperti Wong Tack dari Bentong dan Fuziah Salleh dari Kuantan menegur Redzuan dengan menyebut beliau tidak mempunyai locus standi untuk bercakap mengenai isu Lynas Corporation Ltd (Lynas).

“Berbanding Fuziah yang hanya Timbalan Menteri, Redzuan adalah ahli jemaah menteri yang tahu apa diputuskan Kabinet mengenai sesuatu isu termasuk perkara yang tidak membabitkan kementerian beliau secara langsung,” katanya.

Menurutnya, apabila Redzuan mendapati kenyataan menteri atau timbalan menteri lain tidak selari dengan keputusan Kabinet maka sudah pastilah selaku ahli jemaah menteri bertanggungjawab membetulkan kekeliruan.

“Sangat tidak bagus untuk imej PH apabila Wong Tack atau Fuziah meminta menteri menutup mulut kerana ini boleh mengurangkan penghormatan rakyat kepada mereka.

“Kalau mahu dikirakan soal tidak mempunyai ‘locus standi’, Fuziah lebih-lebih lagi tidak mempunyainya kerana beliau adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sepatutnya bercakap soal agama sahaja,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, Wong Tack dan Fuziah tidak perlu terikut-ikut dengan sentimen semata-mata kerana mereka lantang memperjuangkan isu Lynas sewaktu bergelar pembangkang dahulu kerana selaku kerajaan kini mereka ada saluran untuk bersuara.

“Redzuan sekadar menjelaskan apa yang berlaku dalam Kabinet sahaja yang masih belum membuat apa-apa keputusan mengenai soal penutupan Lynas jika syarikat itu tidak menghantar sisa radioaktif keluarannya ke Australia.

“Keputusan Kabinet setakat ini adalah untuk membenarkan operasi Lynas, dan selaku Menteri Pembangunan Usahawan, beliau mempunyai kepentingan kerana ini berkait dengan usaha menarik dan mengekalkan pelaburan dalam negara,” katanya.

Tambahnya, setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mendedahkan bahawa Kabinet belum membincangkan kaedah pelupusan sisa radioaktif Lynas, maka terbuktilah bahawa apa yang dikatakan oleh Redzuan adalah betul.

"Mereka yang berada di luar Kabinet sepatutnya merujuk kepada ahli Kabinet sebelum membuat sebarang kenyataan bagi memastikan ia itu tidak bercanggah atau mendahului keputusan Kabinet,” katanya.