Rasuah Busters, kerajaan Terengganu bersama perangi rasuah

Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menerima plak kempen antirasuah daripada Nurhayati (tengah) di kediaman rasmi menteri besar di Seri Iman, Kuala Terengganu pada Selasa.
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menerima plak kempen antirasuah daripada Nurhayati (tengah) di kediaman rasmi menteri besar di Seri Iman, Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Rasuah Busters dan kerajaan Terengganu menjalinkan kerjasama dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

Kesepakatan itu dicapai menerusi pertemuan julung-julung kali diadakan antara Rasuah Busters dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di kediaman rasmi di Seri Iman, di sini, pada Selasa.

Pemimpin nombor satu Terengganu itu menjadi menteri besar pertama yang menerima kunjungan Rasuah Busters sempena konvoi #RasuahBusters ke Pantai Timur bermula Sabtu lalu.

Menurut Ahmad Samsuri, kunjungan Rasuah Busters membawa misi penting bagi membanteras rasuah sehingga ke akar umbi.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memberi komitmen dan membuka ruang terhadap sebarang usaha daripada mana-mana pihak bagi memerangi rasuah sekali gus mencapai objektif negara sifar rasuah.

"Usaha memerangi rasuah adalah tanggungjawab kita semua. Bagi pihak kerajaan negeri, kita amat terbuka dan mengalu-alukan usaha sama ada daripada badan bukan kerajaan (NGO), komuniti, ahli akademik dan agensi penguat kuasa serta sentiasa mencari jalan bagi memastikan usaha ini direalisasikan.

"Insya-ALLAH, selepas ini kita boleh terus mengadakan perbincangan untuk mengadakan program-program atau sesi yang sesuai dengan target grup tertentu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, pelbagai isu telah diketengahkan dalam pertemuan selama lebih satu jam itu antaranya memperkasa gerakan #RasuahBusters sebagai sebuah gerakan rakyat di Terengganu dalam usaha merealisasikan agenda #MalaysiaTanpaRasuah.

"Pertemuan ini berlangsung dalam suasana penuh harmoni. Kita banyak berkongsi pandangan mengenai pemerkasaan dua hala daripada sudut kepimpinan dan rakyat itu sendiri di samping memberi fokus mengembalikan #nilaimoralkarakterbangsa.

"Kerajaan dan rakyat boleh berintegrasi dalam memberi kesedaran dan melaksanakan pelbagai program bagi membangunkan integriti masyarakat secara keseluruhannya termasuk di peringkat kepimpinan, pengurusan dan rakyat secara umumnya," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman rasmi menteri besar di Seri Iman, di sini, pada Selasa.

Menurut Nurhayati, kerjasama di pelbagai peringkat antaranya melibatkan pemegang taruh, orang ramai, sekolah, universiti, perniagaan, institusi, pendidikan dan seumpamanya akan diperkasakan selepas selesai konvoi #RasuahBusters.

"Kita bersyukur kerana mendapat sokongan penuh dan padu daripada pihak Menteri Besar malah beliau secara jelas begitu menyokong usaha ini sebagai salah satu ikhtiar bagi membentuk kerjasama bersepadu yang kita boleh 'reach out' kepada seluruh 'ekosistem' khususnya di Terengganu.

"Langkah yang dilaksanakan di Terengganu merupakan inspirasi untuk dilaksanakan di negeri lain agar kita dapat lihat bagaimana kolaboratif dan usaha kolektif antara kepimpinan, pemegang taruh dan rakyat bagi membentuk gabungan bersama dalam memulihkan kembali ekonomi dan sistem sosial di negara kita secara amnya, "ujar beliau.

Konvoi #RasuahBusters akan meneruskan perjalanan ke Kelantan selama tiga hari bermula 9 hingga 12 Ogos.