Empat ahli Geng Mamat diberkas

Norzamri (dua dari kanan) bersama barang rampasan pada sidang media berhubung penangkapan ahli Geng Mamat di IPD Maran pada Selasa.
Norzamri (dua dari kanan) bersama barang rampasan pada sidang media berhubung penangkapan ahli Geng Mamat di IPD Maran pada Selasa.
A
A
A

MARAN - Seramai empat individu termasuk seorang wanita yang merupakan anggota sindiket 'Geng Mamat' diberkas pihak polis menerusi operasi khas dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini pada Jumaat lalu.

Mereka disyaki terbabit dalam kes mencuri pelbagai peralatan pembinaan bernilai RM30,000 di enam tapak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Maran sejak April tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.

"Dalam serbuan pertama Jumaat lalu, polis menahan seorang lelaki dan wanita berusia 21 dan 25 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Ling di sini. Serbuan seterusnya kira-kira jam 5.30 petang, seorang lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Paya Pasir di sini.

"Kemudian pada hari yang sama, seorang lagi pemuda berusia 19 tahun bekerja sebagai pemandu lori ditahan di sebuah rumah di Jalan Kampung Pertanian, Pekan Tajau di sini pada jam 11.30 malam," katanya pada sidang akhbar di IPD Maran di sini pada Selasa.

Beliau berkata, dalam serbuan itu juga, beberapa peralatan dirampas antaranya set sepana pelbagai saiz warna biru, satu alat mesin pemotong jenama Makita warna hijau, lima unit alat penukul pelbagai saiz dan warna dan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback warna merah.

Norzamri berkata, modus operandi sindiket terbabit ialah menyasarkan untuk mencuri peralatan di tapak pembinaan ECRL pada waktu malam yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.

"Kita percaya sindiket ini telah mencuri di enam lokasi tapak pembinaan ECRL di daerah ini dengan nilai kerugian peralatan pembinaan dianggarkan RM30,000.

"Pihak polis juga merampas selaras senapang angin dan sepasang gari yang disyaki digunakan sindiket itu untuk aktiviti penyamaran atau peras ugut pekerja asing," katanya.

Tambahnya, satu peket plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 2.13 gram, dipercayai bagi kegunaan sindiket itu turut dirampas dalam operasi berkenaan.

"Hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek pertama dan ketiga juga mempunyai rekod penyalahgunaan dadah. Kita percaya ada dua lagi suspek yang masih bebas dan polis sedang giat memburu mereka," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (Curi), Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 (Penalti kerana memiliki senjata dan amunisi tanpa sesuatu lesen atau permit), Seksyen 89 Akta Polis 1967 (Memiliki secara haram peralatan-peralatan dibekalkan kepada pegawai polis tanpa kebenaran) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan lanjut diteruskan terhadap semua suspek untuk mengenal pasti penglibatan mereka dalam kes-kes lain dan mengesan barang kes berkaitan.

"Kesemua suspek direman selama empat hari bermula Sabtu lalu sehingga ke hari ini (Selasa) sebelum disambung reman untuk siasatan lanjut," katanya.