Kaji semula penamatan Kawasan Bebas Berniaga di Kedah

Ramai peniaga terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang memberi impak kepada pendapatan mereka. Gambar hiasan. (Gambar kecil : Mohd Kholib Hamid )
Ramai peniaga terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang memberi impak kepada pendapatan mereka. Gambar hiasan. (Gambar kecil : Mohd Kholib Hamid )
A
A
A

ALOR SETAR – Kerajaan negeri diminta mengkaji semula keputusan untuk menamatkan pelaksanaan Kawasan Bebas Berniaga yang akan berkuat kuasa pada 31 Disember 2022.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah Cawangan Kota Setar, Mohd Kholib Hamid berkata, perlaksanaan Kawasan Bebas Berniaga di Kedah sejak 2020 dilihat membantu meringankan bebanan peniaga.

Mohd Kholib berkata, peniaga dibenarkan menjalankan perniagaan mereka di Kawasan Bebas Berniaga di negeri ini secara percuma sebelum ini.

“Jadi, ada peniaga yang mengeluh apabila Kawasan Bebas Berniaga di Kedah akan tamat tidak lama lagi apabila diputuskan tidak akan dilanjutkan lagi.

“Sayangnya, Kawasan Bebas Berniaga akan ditamatkan kerana ia amat bagus dan membantu peniaga yang terkesan akibat Covid-19, kos sara hidup dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau berharap pelaksanaan Kawasan Bebas Berniaga boleh diteruskan meskipun secara bersyarat seperti peniaga perlu memohon lesen perniagaan dari pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, pihak persatuan memohon kerajaan negeri dapat mempertimbangkan lanjutan tempoh pelaksanaan Kawasan Bebas Berniaga ini bagi membolehkan peniaga terus berniaga untuk kelangsungan hidup.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri memutuskan Kawasan Bebas Berniaga yang mula dilaksanakan di Kedah sejak tahun 2020 akan dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, pelaksanaan Kawasan Bebas Berniaga yang diumumkan oleh kerajaan negeri ini adalah bertujuan untuk membantu meringankan bebanan peniaga yang terjejas.

Beliau menjelaskan, sebelum ini, Kawasan Bebas Berniaga di Kedah diputuskan dilaksana sehingga semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan sepenuhnya kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Kedah telah memutuskan untuk melanjutkan Kawasan Bebas Berniaga sehingga 31 Disember 2022 berdasarkan keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan Kedah pada Rabu.