Potensi minyak sawit Malaysia utuh walau harga MSM lemah

Datuk Zuraida Kamaruddin.
Datuk Zuraida Kamaruddin.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Potensi minyak sawit Malaysia terus utuh walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) lemah dan prospek komoditi itu akan kekal cerah pada separuh kedua 2022.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ini sebahagiannya turut didorong oleh penerimaan global yang semakin meluas terhadap komoditi negara, termasuk daripada pasaran-pasaran bukan tradisional.

"Saya melihat perkembangan ini sebagai satu kejayaan daripada kempen Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) - 'Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit' yang bertujuan menepis dakyah-dakyah dan maklumat salah mengenai komoditi terbesar Malaysia ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Eksport minyak sawit Malaysia dan produk-produk berasaskan minyak sawit menokok sebanyak 55.2 peratus kepada RM67.48 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini daripada RM43.47 bilion sepanjang tempoh yang sama pada 2021.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 66.1 peratus hasil eksport adalah daripada minyak sawit iaitu RM44.63 bilion berbanding hanya RM28.8 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya, jelas beliau.

Dari segi jumlah pula, eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini turut meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada 11.47 juta tan berbanding 11.15 juta tan tahun lepas.

"’Malaysia merekodkan eksport yang kukuh walaupun berlaku kemerosotan dalam pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada separuh pertama 2022.

"Berdasarkan kepada perangkaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pengeluaran MSM turun sebanyak 1.1 peratus kepada 8.27 juta tan sepanjang tempoh berkenaan berbanding 8.36 juta tan pada separuh pertama 2021,” kata Zuraida.

Katanya, kemerosotan yang berlaku adalah disebabkan pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang menyusut sebanyak 3.6 peratus setiap hektar sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2022, berbanding 7.16 tan setiap hektar dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara itu, Zuraida menambah, lonjakan mendadak dalam hasil eksport sebahagiannya adalah disebabkan peningkatan harga MSM di dalam dan luar negara yang menyaksikan antara Januari hingga Jun 2022, harga MSM meningkat sebanyak 55.9 peratus kepada RM6,330 satu tan daripada RM4,061.50 satu tan bagi tempoh sama 2021.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hasil daripada eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini meningkat kepada RM56.47 bilion, peningkatan sebanyak 58.8 peratus berbanding lima bulan pertama 2021. - Bernama