Negeri Sembilan setuju PJKM dilaksana setiap minggu

Veerapan
Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju untuk meneruskan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) pada setiap minggu bagi membantu rakyat mendapatkan barang keperluan harian dengan tawaran harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan berkata, PJKM diadakan meliputi 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

"PJKM peringkat Negeri Sembilan telah bermula pada 5 Disember 2021 dan sehingga 17 Julai lepas seramai 227,401 pengunjung telah terlibat dalam program ini dengan jumlah jualan melebihi RM3 juta.

“Kita ada peruntukan daripada kementerian berjumlah RM80 juta di seluruh negara yang akan digunakan di 639 DUN dengan setiap minggu diperuntukkan sebanyak RM6,250 (RM25,000 sebulan) dan lima bulan sebanyak RM125,000," katanya pada Persidangan Kedua Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan yang ke-14 di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri akan meneruskan PJKM secara mingguan bagi membantu orang ramai menangani peningkatan harga bekalan barang mentah.

Veerapan berkata, program ini akan terus diadakan sepanjang tahun ini bagi membantu rakyat mendapatkan barang keperluan harian dan makanan pada harga murah.

"PJKM di negeri ini dijalankan sebanyak 31 siri sehingga 24 Julai lepas di 139 lokasi menerusi dua konsep, iaitu di tapak terbuka dan dengan kerjasama pasar raya," katanya.

Dalam pada itu, Veerapan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri juga sentiasa menjalankan pemantauan yang menyeluruh ke atas semua premis perniagaan bagi mencegah peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati.

Beliau berkata berkata demikian bagi menjawab soalan Yap Yew Weng (PH-Mambau) yang mahu tahu perancangan kerajaan negeri untuk menangani aduan dan masalah kenaikan harga barang.