Apa lagi yang akan timbul selepas LCS?

Besar kemungkinan isu LCS akan menjadi modal kempen dalam PRU akan datang. - Foto Bernama
Besar kemungkinan isu LCS akan menjadi modal kempen dalam PRU akan datang. - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS), timbul persoalan apakah isu-isu lain pula yang akan muncul selepas ini.

Ia berikutan bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang semakin dirasai oleh semua pihak dan besar kemungkinan isu LCS juga akan dibawa dalam kempen PRU akan datang.

Pastinya ramai yang menantikan apa lagi yang bakal dibongkar dan ia diperkuatkan lagi dengan kenyataan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mendakwa akan ada pendedahan-pendedahan mengejutkan selepas isu LCS.

“Ada lagi pendedahan-pendedahan mengejutkan selepas isu LCS, jangan bimbang, satu persatu akan menyusul.

“Fasten your seatbelt (pasang tali pinggang anda)...seperti kata pepatah, ambil mana-mana yang sempat,” dakwanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Selain daripada itu, tindakan memaklumkan kemajuan projek pembinaan kapal LCS secara berperingkat kepada orang ramai juga adalah satu langkah yang baik.

Ini kerana semua pihak akan mengetahui kemajuan pembinaan kapal yang ditunggu-tunggu ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan bahawa kapal pertama LCS dijangka siap dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang.

"Saya boleh nyatakan bahawa sekurang-kurangnya dalam masa setahun dua ini saya harap bahawa kapal pertama akan dapat kita siapkan.

"Dan saya akan laporkan kepada orang ramai jadual berperingkat-peringkat kapal yang telah pun dijanjikan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan saya akan maklumkan kepada kabinet apa yang telah kita lakukan untuk memastikan ia kali ini insya-ALLAH mengikut apa yang telah dijadualkan," katanya.

PAC minggu lalu melaporkan kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengenai pembinaan LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Kah Woh berkata, perkara itu antara sembilan rumusan yang diperoleh PAC menerusi prosiding berkaitan isu LCS.

“Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang siap.

“Menurut jadual asal, setakat Ogos ini, sepatutnya lima buah kapal LCS siap dan diserahkan,” katanya.