Sekolah, asrama paling tinggi kes wabak salur pernafasan di Johor

Sekolah menjadi lokasi kejadian jangkitan tertinggi. -Gambar hiasan.
Sekolah menjadi lokasi kejadian jangkitan tertinggi. -Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 77.80 peratus kluster kes jangkitan saluran pernafasan iaitu Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) di negeri ini adalah melibatkan institusi pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata, kebanyakan institusi yang dikesan terlibat adalah di sekolah asrama.

"Kebanyakan kluster yang dilaporkan adalah melibatkan institusi pendidikan iaitu sebanyak 77.80 peratus.

"(Bagaimanapun) pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terhadap jangkitan ILI dan URTI mendapati, situasi masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster melibatkan sekolah berasrama dikesan,” katanya menerusi kenyataan, di sini pada Isnin.

Tian Soon berkata, secara keseluruhan sebanyak 1,531 kes jangkitan saluran pernafasan dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi 31/2022, iaitu peningkatan sebanyak 2.7 kali ganda berbanding 574 kes pada tempoh sama tahun lepas.

Menurutnya, bilangan kluster juga meningkat kepada 18 kluster berbanding lapan bagi tempoh sama pada tahun lepas.

Beliau berkata, bagaimanapun secara amnya, kes ILI dan URTI adalah jangkitan biasa berlaku tanpa musim di Malaysia sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri.

Justeru itu, beliau berkata, JKNJ menasihati orang ramai agar mengambil langkah pencegahan dengan mengamalkan tahap kebersihan diri serta kerap membasuh tangan menggunakan air, sabun atau pensanitasi tangan. - Bernama.