Penghuni kem pelarian Raudah Yaman, sering terputus bekalan makanan

Zulkifli (dua dari kanan) menyerahkan pek makanan kepada pelarian di Kem Perlindungan Raudah, Marib. Pek makanan tersebut mampu menampung bekalan makanan untuk tempoh sebulan.
Zulkifli (dua dari kanan) menyerahkan pek makanan kepada pelarian di Kem Perlindungan Raudah, Marib. Pek makanan tersebut mampu menampung bekalan makanan untuk tempoh sebulan.
A
A
A

MISI Kemanusiaan Muslim Care yang bermula 1 Ogos lalu di Yaman menyelami pelbagai kisah duka pelarian yang berlindung di kem pelarian Raudah sejak negara Timur Tengah itu berdepan konflik peperangan mulai 2012.

Seorang remaja berusia 13 tahun, Sufian Solleh ketika ditemui pada Sabtu lalu mengakui terpaksa berjimat cermat dengan bekalan makanan seperti tepung, beras dan minyak masak kerana sering terputus bekalan makanan.

Kanak-kanak malang ini yang mempunyai sembilan adik beradik terpaksa berlindung di kem pelarian setelah rumah mereka tinggal di bandar Sana’a musnah akibat terlibat dalam peperangan.

Sufian merupakan salah seorang penerima bantuan pek makanan yang mengandungi beras, minyak masak, pes tomato, tepung dan makanan dalam tin yang disumbangkan Muslim Care.

Cerita Sufian hampir sama dengan ribuan kanak-kanak pelarian lain yang ditempatkan di beberapa kem pelarian di Marib yang menempatkan kira-kira 2 juta orang yang kebanyakannya melarikan diri dari beberapa bandar di Sana’a.

Keadaan kem yang daif, tidak mempunyai bekalan air bersih yang sistematik, kekurangan bekalan makanan menyumbang kes malnutrisi atau kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di Yaman yang semakin membimbangkan.

Sufian Solleh salah seorang penerima pek makanan yang disampaikan oleh Muslim Care di Kem Pelarian Raudah, Marib.
Sufian Solleh salah seorang penerima pek makanan yang disampaikan oleh Muslim Care di Kem Pelarian Raudah, Marib.

Selain berdepan dengan cuaca panas yang ekstrem mencecah 45 darjah Celcius, mereka juga diancam pelbagai kemungkinan penyakit kerana kesedaran aspek penjagaan diri yang rendah.

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, fokus bantuan kali ini adalah mengumpul data dan mengenal pasti isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak pelarian di negara tersebut yang mula terlibat dalam peperangan.

“Kami mendapati kanak-kanak pelarian di sini menghadapi isu kekurangan zat yang serius, ada bayi yang kami temui tidak mendapat zat pemakanan yang sewajarnya untuk seorang bayi terus membesar dengan normal, "katanya.

Beliau berkata, tidak banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi penekanan isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak dan bayi di kem-kem pelarian di Yaman ini.

“Begitu juga bantuan kemanusiaan di negara ini yang seolah-olah dipandang sepi oleh NGO antarabangsa berbanding bantuan kemanusiaan yang dihulurkan di negara lain yang dilanda konflik seperti di Palestin, Syria, Myanmar dan beberapa negara di benua Afrika.

“Justeru saya berharap, rakyat Malaysia dapat menghulurkan derma dan bantuan lain ke Yaman melalui tabung atau dana kemanusiaan yang dianjurkan oleh kami,” ujarnya.

Zulkifli dan tujuh orang wakil Muslim Care ditemui selepas menyerahkan 200 pek makanan di dua buah kem pelarian di Raudah, Marib dan misi kemanusiaan itu berada di sana sehingga 16 Ogos ini.