Shahrir bayar penuh beli Honda Civic Hybrid RM118,485

Tan Sri Shahrir Ab Samad
Tan Sri Shahrir Ab Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan di sebuah syarikat menjual kereta memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa Tan Sri Shahrir Ab Samad membuat pembayaran penuh menggunakan cek bernilai RM118,485 ketika membeli sebuah kereta Honda Civic Hybrid, sembilan tahun lalu.

Eksekutif Pentadbiran, Sutera Auto Sdn Bhd di Johor Bahru, Johor, Nurrul Hafizah Md Roslan, 40, berkata demikian ketika perbicaraan kes Shahrir yang didakwa tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjumlah RM1 juta.

Dia yang juga saksi pendakwaan keenam berkata, bekas Pengerusi Felda itu telah membuat bayaran penuh ke atas kenderaan berwarna putih menggunakan sekeping cek.

“Saya sediakan invois selepas dimaklumkan bahawa urusan pembayaran serta pendaftaran kenderaan ini dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah selesai.

“Saya juga telah membuat semakan terhadap resit pembayaran, perakuan pendaftaran kenderaan dan dokumen yang berkaitan semasa menyediakan invois berkenaan,” katanya ketika membaca pernyataan saksi.

Semasa ditanya oleh peguam, Syahrul Syazwan Salehin yang mewakili Shahrir, saksi itu bersetuju bahawa invois berkenaan tidak disertakan dengan tarikh, nama, 'initial' tandatangannya.

Syahrul Syazwan: Saya cadangkan bukan puan yang sediakan invois ini, sebab tiada tarikh malah nama puan juga tidak tertera di situ.

Nurrul Hafizah: Tidak setuju.

Syahrul Syazwan: Mohon rujuk resit, setuju tak dengan cadangan saya, dalam dokumen itu juga tidak menyatakan nama orang yang mengeluarkan resit.

Nurrul Hafizah: Setuju.

Dalam prosiding sama, saksi pendakwaan ketujuh, Eksekutif Akaun di syarikat sama, Rozana Khalid berkata, sepanjang 13 tahun berkhidmat, hanya satu atau dua peratus pelanggan membeli kenderaan dengan bayaran penuh.

“Jika 50 kereta terjual dalam masa sebulan, hanya dua atau tiga kereta dibeli dengan pembayaran penuh iaitu secara tunai, cek atau kad kredit,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi.

Rozana, 43, turut mengesahkan terlibat dalam proses penutupan akaun bagi pembelian kereta yang dibeli oleh Shahrir selepas syarikat itu menerima cek Public Islamic Bank atas nama Sutera Auto Sdn Bhd berjumlah RM118,485 bertarikh 21 Disember 2013.

Bagaimanapun, semasa disoal oleh peguam, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, Rozana berkata, pihak syarikat tidak pernah menerima panggilan daripada pihak bank atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berhubung kes itu.

Syed Faisal Al-Edros: Puan tahu tak, kes ini melibatkan LHDN dan bukannya kes rasuah yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ada atau tidak pihak LHDN menghubungi puan untuk merakam percakapan?

Rozana: Tiada.

Syed Faisal Al-Edros: Ada tak puan serahkan sebarang dokumen kepada LHDN berkaitan kenderaan ini?

Rozana: Tidak.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi.

Shahrir didakwa tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013.

Cek itu kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 November 2013.

Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 24 April 2014 di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.