Imam Mahdi: Serah kepada pihak berkuasa Arab Saudi

Idris (kiri) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda Pas Perak kali ke-39 di Bukit Merah pada Ahad.
Idris (kiri) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda Pas Perak kali ke-39 di Bukit Merah pada Ahad.
A
A
A

BAGAN SERAI - Pihak Konsulat Malaysia di Jeddah diminta untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa negara itu bagi mengesan kumpulan yang mendakwa berlaku kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, tindakan perlu diambil bagi menyiasat pemimpin Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah, Habib Shah Firdaus Habih Ahmad dan baki pengikutnya yang dipercayai masih berada di Arab Saudi.

"Saya telah menghubungi pihak konsulat untuk mengesan dan tahan. Kita berharap mereka ini diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama negara sana atau pun kita suruh mereka dihantar pulang.

"Pada masa sama, Tabung Haji ada memaklumkan yang mereka sedang dalam proses ambil tindakan selanjutnya. Jadi, kita minta mereka bekerjasama dengan pihak kedutaan di sana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda Pas Perak kali ke-39 di Bukit Merah pada Ahad.

Menurutnya, kumpulan tarekat terbabit disifatkan telah menyeleweng dan bercanggah dengan hukum syarak.

"Sudah mengarut hingga ada menjual harta dan sebagainya. Kita berharap orang awam yang hendak mengikuti amalan tarekat selidik dahulu gurunya.

"Syarat mengaji perlu mencari guru yang Mursyid iaitu mempunyai ilmu dan beramal. Kita harapkan dalam kalangan masyarakat ada kesedaran untuk memahami perkara seperti ini agar tidak mudah tertipu," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Habib Shah Firdaus dipercayai berada di Arab Saudi sejak Mac lalu bersama ratusan pengikutnya bagi menantikan kemunculan Imam Mahdi.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, berdasarkan maklumat dipercayai separuh daripada 300 pengikutnya sudah pulang selepas mendapati tiada apa-apa berlaku pada hari Arafah.

Idris (dua dari kiri) ketika merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda Pas Perak kali ke-39 di Bukit Merah pada Ahad.
Idris (dua dari kiri) ketika merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda Pas Perak kali ke-39 di Bukit Merah pada Ahad.

Habib Shah Firdaus bersama pengikutnya yang masih tinggal di situ menunggu pula tarikh 10 Muharam (Isnin) bagi menantikan peristiwa sama.

Justeru, sebuah pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah di Labu, Seremban, Negeri Sembilan diarahkan tutup selama enam bulan susulan terdapat aduan mengenai perbuatan atau perkara yang bercanggah dengan hukum syarak.