Kerajaan disaran pinda perlembagaan elak diskriminasi wanita

Jimmy Puah (Gambar dalam : Laporan Sinar Harian pada Jumaat.)
Jimmy Puah (Gambar dalam : Laporan Sinar Harian pada Jumaat.)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan dicadang meminda perlembagaan untuk membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mendapat kerakyatan Malaysia.

Bekas Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ini bagi mengelakkan diskriminasi terhadap wanita selain bagi memastikan golongan tersebut turut mendapat hak dan status sama rata seperti lelaki.

"Bagi saya tidak kira wanita itu berkahwin dengan lelaki asing atau tidak anak dia wajar menjadi (mendapat hak kewarnegaraan) orang Malaysia.

"Pada zaman dan dekad sekarang kalau ada diskrimasi seperti ini (undang-umdang) adalah tidak munasabah, kita sekarang kena maju dalam hak wanita dan bukan mundur balik.

"Saya menghormati keputusan mahkamah sebelum ini, namun saya harap dalam masa yang singkat kerajaan dapat kaji dan pinda semula perlembagaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Penyerahan Banting Perniagaan Kepada Empat Usahawan Kecil dan Sederhana di Felda Ulu Tebrau di sini pada Ahad.

Turut hadir bekas Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan.

Pada Jumaat, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia daripada segi undang-undang.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mengulas lanjut, Wee Tse berkata, wanita di negara ini ketika ini sudah banyak didiskriminasikan dalam banyak sektor berbanding lelaki antaranya gaji lebih rendah dan tidak diberikan jawatan yang sewajarnya walaupun berkelayakan.

Sementara itu, mengenai skandal penyelewengan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion yang sedang hangat diperkatakan ketika ini, beliau berkata, Barisan Nasional (BN) perlu bertanggungjawab dalam isu berkenaan.

Jelas beliau, sepatutnya pandangan Panglima Tentera Laut ketika itu iaitu Laksamana Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar yang menyifatkan tatacara perolehan projek tersebut adalah sesuatu yang salah perlu dipandang serius.

"Ini hanya menunjukkan sikap keangkuhan dan kesombongan BN di mana jika bukan panglima sendiri siasat dan dedahkan, kita pun tak tahu. Rupanya sudah 10 surat dihantar panglima tersebut menyatakan pandangan profesional beliau tetapi tidak diendahkan.

"Sampai hari ini bukan sahaja kapal tapi bayang kapal pun tiada, jadi terbuktilah kebimbangan panglima terbabit. Saya rasa orang yang terlibat masa tu kena ambil tanggungjawab termasuk Datuk Seri Najib Razak yang menjadi Perdana Menteri ketika itu," katanya.

Tambahnya, sebelum ini Malaysia membeli kapal selam yang tidak boleh menyelam dan kini terpalit isu baharu pula iaitu membeli kapal tempur tetapi sehingga kini masih tidak menerimanya.

"Kita tidak boleh selalu terima perkara-perkara seperti ini, bila ada masalah cuma kata maaf sahaja, tiada perubahan. Ini beri kesan kepada rakyat dan negara. Bayangkan RM6 bilion, wang ini boleh dibina berapa banyak hospital," katanya.

Dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai perolehan LCS, Abdul Aziz memaklumkan beliau mengemukakan sekurang-kurangnya 10 surat teguran, surat tidak puas hati dan surat untuk memaklumkan pendirian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berhubung projek LCS.

Surat rasmi berkenaan diberikan kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Negara dan Perdana Menteri yang memegang jawatan pada ketika itu.