Rasuah Busters Terengganu fokus aspek kesedaran, penguatkuasaan

Pasukan Rasuah Busters Negeri Terengganu yang berjaya dibentul dalam Mesyuarat Rakan Gabungan Rasuah Busters Terengganu sempena Konvoi #RasuahBusters ke Terengganu di sini pada malam Sabtu
Pasukan Rasuah Busters Negeri Terengganu yang berjaya dibentul dalam Mesyuarat Rakan Gabungan Rasuah Busters Terengganu sempena Konvoi #RasuahBusters ke Terengganu di sini pada malam Sabtu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kesedaran tentang pentingnya integriti dan penguatkuasaan lebih tegas terhadap pesalah rasuah merupakan antara dua perkara yang akan diberi tumpuan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rasuah Busters Terengganu.

Maznah Salleh
Maznah Salleh

Pengerusi Rasuah Busters Negeri Terengganu, Maznah Salleh berkata, dua fokus utama tersebut dilihat dapat membantu usaha menyebarkan tentang bahaya rasuah dalam negara dan melahirkan generasi berintegriti tinggi mampu dicapai dengan lebih cepat.

“Kita akan rangka beberapa program kesedaran rasuah bermula di peringkat bawahan lagi iaitu murid tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan golongan dewasa.

“Selain memberi kesedaran kepada kumpulan sasaran ini, kita juga akan buat beberapa gesaan kepada pihak bertanggungjawab supaya dapat melaksanakan hukuman kepada mereka yang didapati terlibat dalam rasuah.

“Contohnya cadangan supaya menambah hukuman sebatan kepada pesalah rasuah supaya masyarakat lebih takut untuk terlibat rasuah, ini akan diperjuangkan oleh Rasuah Busters. Setakat hukuman denda, semua boleh cari tapi sebat lebih menakutkan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Nasional Council of Woman Organisation Malaysia (NCWO) Terengganu berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Rakan Gabungan Rasuah Busters Terengganu sempena Konvoi #RasuahBusters di sini pada malam Sabtu.

Pada majlis itu, Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Terengganu, Jalaluddin Adam dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Rasuah Busters Terengganu manakala Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PKKM) Terengganu, Abdullah Mamat dipilih sebagai setiausaha.

Wakil NGO sedang mendengar taklimat tentang Rasuah Busters yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin
Wakil NGO sedang mendengar taklimat tentang Rasuah Busters yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin

Antara NGO yang hadir dan memberi sokongan kepada gabungan Rasuah Busters di Terengganu adalah Pergerakan Puteri Islam Malaysia Perhubungan Negeri Terengganu, NCWO, Ikram Terengganu, PKKM Terengganu, Sek Anak Tanjung dan Persatuan Guru Tadika Swasta.

Penerangan tentang jelajah Rasuah Busters dalam misi membangunkan #NilaiMoralKarakterBangsa serta menolak budaya jijik rasuah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.

Sementara itu, Maznah meluahkan rasa syukur terhadap amanah yang diberikan kepada beliau memimpin pasukan Rasuah Busters Terengganu dan berharap sokongan dari NGO bagi merealisasikan harapan membina masyarakat tanpa rasuah.

Jelas beliau, gejala rasuah begitu membimbangkan kerana amalan itu mampu menjatuhkan sebuah negara sebagaimana berlaku di negara luar dan oleh itu ia harus dibanteras.

Maznah (depan, kiri) menerima kits Rasuah Busters yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.
Maznah (depan, kiri) menerima kits Rasuah Busters yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.

Ditanya sama ada peningkatan kos sara hidup turut mendorong mereka mengambil rasuah, Maznah berkata, tindakan tersebut sebenarnya terletak kepada moral dan integriti individu itu sendiri

“Kalau orang yang bermoral tinggi, dia kata benda itu salah, susah macam mana pun dia tidak akan buat. Ia lebih kepada integriti dan kekuatan agama individu itu sendiri, saya percaya semua agama mengatakan rasuah itu salah,” katanya.