Penduduk Langkawi nikmati harga 'istimewa' beli tiket feri

Penduduk Langkawi dan golongan OKU serta warga emas akan menikmati kemudahan potongan harga istimewa melalui pembelian tiket secara dalam talian.
Penduduk Langkawi dan golongan OKU serta warga emas akan menikmati kemudahan potongan harga istimewa melalui pembelian tiket secara dalam talian.
A
A
A

LANGKAWI - Penduduk Langkawi dan golongan orang kurang upaya (OKU) serta warga emas akan menikmati kemudahan potongan harga istimewa melalui pembelian tiket secara dalam talian selepas Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd menambah baik sistem itu selewat-lewatnya pada 1 Oktober nanti.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi konsortium itu, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, bagaimanapun, surcaj RM1 akan dikenakan bagi pembelian secara dalam talian untuk dibayar kepada ejen yang mengendalikan jualan tiket berkenaan.

"Tetapi, surcaj itu tidak akan dikenakan kepada golongan ini sekiranya membeli tiket secara terus di kaunter,” katanya ketika sidang akhbar di sini malam Sabtu.

Sebelum ini, penduduk Langkawi, golongan OKU dan warga emas menikmati potongan harga menerusi pembelian di kaunter sahaja.

Khamis lepas, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd gabungan daripada tujuh syarikat feri penumpang terbesar di negara ini mengumumkan kenaikan kadar tambang baharu feri sebanyak RM3 ke RM3.50 bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa Jumaat lepas.

Bagaimanapun, kadar tambang bagi penduduk Langkawi serta OKU dan warga emas berusia 60 tahun ke atas kekal bagi kedua-dua laluan feri berkenaan bagi pembelian di kaunter dan harganya sama seperti penumpang lain jika membeli secara dalam talian.

Ketika ini, kadar tambang penduduk di pulau ini bagi dewasa dan kanak-kanak dari Langkawi-Kuala Perlis dan Kuala Perlis-Langkawi adalah RM15 dan RM10, manakala RM10 dan RM13 bagi golongan OKU dan warga emas.

Harga tambang dewasa dan kanak-kanak dari Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Kedah-Langkawi pula pada kadar RM20 dan RM14, manakala OKU dan warga emas masing-masing RM14 dan RM17.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kadar tambang baharu bagi golongan dewasa dan kanak-kanak warganegara untuk laluan Langkawi-Kuala Perlis dan Kuala Perlis-Langkawi meningkat RM3 kepada masing-masing RM21 dan RM16.

Bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Kedah-Langkawi pula kadar baharu adalah RM26.50 bagi golongan dewasa warganegara berbanding RM23 sebelum ini, manakala RM20.50 bagi kanak-kanak warganegara iaitu meningkat sebanyak RM3.50.

Dalam pada itu, Baharin memberi jaminan perkhidmatan feri akan ditambah baik dari semasa ke semasa selaras dengan kenaikan kadar tambang itu. - Bernama