Harga tiket feri ke Langkawi naik mulai esok

Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengumumkan kenaikan kadar tambang baharu bagi laluan feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuatkuasa mulai Jumaat. Foto: Ihsan Facebook Langkawi Ferry Line
Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengumumkan kenaikan kadar tambang baharu bagi laluan feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuatkuasa mulai Jumaat. Foto: Ihsan Facebook Langkawi Ferry Line
A
A
A

ALOR SETAR - Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengumumkan kenaikan kadar tambang baharu bagi laluan feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa mulai Jumaat.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasinya, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, konsortium yang merupakan gabungan tujuh syarikat feri penumpang yang terbesar di Malaysia terpaksa menaikkan harga antara RM3 hingga RM11.50 mengikut kategori umur.

“Bagi laluan Pulau Langkawi-Kuala Perlis-Pulau Langkawi, kadar tambang untuk dewasa naik RM3 daripada RM18 kepada kadar baharu RM21.

“Kadar tambang kanak-kanak juga naik RM3 menjadi RM16 berbanding RM13 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kenyataan media Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd
Kenyataan media Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd

Beliau memaklumkan, kadar tambang untuk dewasa bukan warganegara naik RM9 daripada RM18 kepada RM27, manakala kanak-kanak bukan warganegara naik RM6.50 daripada RM13 kepada RM19.50 bagi laluan itu.

Bagaimanapun, empat kadar tambang dikekalkan iaitu dewasa (penduduk Langkawi), kanak-kanak (penduduk Langkawi), orang kurang upaya (OKU) dan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

“Kadar tambang RM15 masih kekal bagi dewasa (penduduk Langkawi), manakala kanak-kanak (penduduk Langkawi) dan OKU kekal RM10 serta warga emas 60 tahun ke atas RM13,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Baharin memaklumkan, tambang dewasa dan kanak-kanak bagi laluan Pulau Langkawi-Kuala Kedah-Pulau Langkawi juga naik RM3 menjadikan kadar terbaharu masing-masing adalah RM26.50 dan RM20.50.

Perbandingan kadar tambang feri di Malaysia
Perbandingan kadar tambang feri di Malaysia

“Kadar tambang dewasa bukan warganegara pula naik sebanyak RM11.50 menjadikan kadar terbaharu RM34.50 dan kanak-kanak bukan warga negara pula naik sebanyak RM8.50 daripada RM17 kepada RM25.50,” katanya.

Katanya, harga tambang untuk empat kategori kekal pada harga sama seperti sebelum ini, iaitu RM20 bagi dewasa (penduduk Langkawi), RM14 bagi kanak-kanak (penduduk Langkawi), RM14 bagi OKU dan RM17 bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Beliau menjelaskan, kali terakhir kenaikan tambang feri Langkawi adalah 15 tahun lepas pada 15 Disember 2007 iaitu RM5 bagi laluan Kuala Kedah dan RM3 bagi Kuala Perlis.