Akur kenaikan kadar tambang feri ke Langkawi

Kadar tambang baharu perkhidmatan feri Kuala Kedah ke Pulau Langkawi yang dipaparkan di kaunter tiket di Terminal Feri Kuala Kedah, di sini.
Kadar tambang baharu perkhidmatan feri Kuala Kedah ke Pulau Langkawi yang dipaparkan di kaunter tiket di Terminal Feri Kuala Kedah, di sini.
A
A
A

KUALA KEDAH - Rata-rata penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri bagi laluan Kuala Kedah ke Pulau Langkawi akur apabila tambang pengangkutan itu dinaikkan sebanyak RM3.50 berkuat kuasa Jumaat.

Melalui notis dipaparkan di kaunter Terminal Feri Kuala Kedah, penumpang perlu membayar RM26.50 (tiket dewasa) berbanding harga lama RM23 dan RM20.50 bagi kanak-kanak berbanding harga lama RM17 sebelum ini.

Pengguna, Nordiani Abd Rahman,37, berkata, dia akur dengan kadar tambang baharu meskipun agak terkejut dengan kenaikan itu.

"Kenaikan berkenaan dikhuatiri memberi kesan kepada penumpang terutama yang kerap berulang-alik menggunakan perkhidmatan itu untuk tujuan kerja.

"Walaupun agak terkejut dengan kenaikan itu namun diharap pengusaha feri dapat meningkatkan lagi perkhidmatan ditawarkan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, pengusaha juga diharap dapat menambah perkhidmatan feri setiap hari bagi menarik dan meningkatkan kehadiran lebih ramai pelancong

Nordiani turut berharap kenaikan harga tambang dapat membantu menjana ekonomi dan industri perlancongan di Pulau Langkawi.

Hasmarina Hashim, 36, pula memaklumkan tidak menyangka kenaikan kadar tambang feri akan berlaku.

Katanya, peningkatan harga dikhuatiri memberi kesan kepada pengguna perkhidmatan feri terbabit.

Dia akur dengan kenaikan kerana perlu menggunakan perkhidmatan feri untuk ke Langkawi sekiranya ada urusan.

Sementara itu, Nur Azfa Izyan, 27, berkata, bersyukur apabila kadar tambang untuk penduduk Langkawi masih kekal seperti biasa.

"Ada penumpang berkemungkinan terkesan dengan kenaikan berlaku disebabkan keadaan ekonomi ketika ini kurang stabil.

"Rakan saya yang bukan penduduk Langkawi mengadu dan mengeluh kerana merasa terkesan dengan harga baharu tambang tersebut," katanya.

Pengguna membeli tiket seperti biasa di Terminal Feri Kuala Kedah, di sini. (Gambar kecil: Ahmad Azizan, Nordiani)
Pengguna membeli tiket seperti biasa di Terminal Feri Kuala Kedah, di sini. (Gambar kecil: Ahmad Azizan, Nordiani)

Dalam pada itu, Penyelia Operasi Langkawi Ferry Line Sektor Kuala Kedah, Ahmad Azizan Aziz menjelaskan kenaikan kadar tambang selepas 15 tahun tidak dapat dielakkan disebabkan kenaikan pelbagai kos operasi termasuk diesel.

Bagaimanapun, Azizan berkata, kadar baharu itu masih terendah di Malaysia berbanding kadar tambang feri lain.

Menurutnya, jualan tiket pada hari pertama kenaikan kadar tambang feri itu didapati lancar tanpa masalah.

Katanya, tiketuntuk empat trip perjalanan pada Jumaat dan lima trip pada Sabtu tetap mendapat sambutan seperti biasa.

Tambahnya, tiada aduan diterima di kaunter tiket dengan rata-rata penumpang membeli memahami kenaikan kadar tambang feri itu.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengumumkan kenaikan kadar tambang baharu bagi laluan feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa mulai Jumaat.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasinya, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, konsortium yang merupakan gabungan tujuh syarikat feri penumpang yang terbesar di Malaysia terpaksa menaikkan harga antara RM3 hingga RM11.50 mengikut kategori umur.

Katanya, bagi laluan Pulau Langkawi-Kuala Perlis-Pulau Langkawi, kadar tambang untuk dewasa naik RM3 daripada RM18 kepada kadar baharu RM21,manakala kadar tambang kanak-kanak juga naik RM3 menjadi RM16 berbanding RM13 sebelum ini.

Dr Baharin memaklumkan, tambang dewasa dan kanak-kanak bagi laluan Pulau Langkawi-Kuala Kedah-Pulau Langkawi juga naik RM3.50 menjadikan kadar terbaharu masing-masing adalah RM26.50 dan RM20.50.