Belanjawan Kelantan RM1.38 bilion, RM296 juta pacu pembangunan

KOTA BHARU – Sebanyak RM1.38 bilion diperuntukkan menerusi Belanjawan Kelantan 2027 dengan RM296 juta disalurkan bagi pembangunan negeri, manakala kebajikan rakyat, pendidikan dan kemudahan awam terus menjadi antara keutamaan kerajaan negeri.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, belanjawan bertemakan Kelantan Prihatin: Penghayatan Membangun Bersama Islam itu dirangka bagi memastikan pengurusan kewangan negeri memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, masyarakat luar bandar dan kumpulan rentan.
Menurut beliau, daripada keseluruhan peruntukan itu, RM1.087 bilion disediakan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM296 juta untuk perbelanjaan pembangunan.
"Bagaimanapun, kerajaan negeri menganggarkan hasil sebanyak RM1.082 bilion, sekali gus menunjukkan kurangan RM4.31 juta berbanding perbelanjaan mengurus yang dirancang," katanya ketika Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.
Mohd Nassuruddin memberitahu, kedudukan kewangan itu menuntut disiplin fiskal berterusan menerusi kawalan perbelanjaan, pengukuhan kutipan hasil dan penilaian semula projek yang kurang mendesak.
"Bagi kerajaan negeri, setiap ringgit wang awam ialah amanah. Pada setiap peruntukan ada harapan seorang rakyat, pada setiap keputusan ada tanggungjawab seorang pemimpin dan pada setiap pelaksanaan ada kewajipan yang mesti ditunaikan dengan jujur serta bersungguh-sungguh," katanya.
Ujar beliau, dalam usaha memperkukuh kebajikan rakyat, kerajaan negeri memperuntukkan RM22 juta bagi Bantuan Am Bulanan al-Musa’adah, RM7.7 juta untuk Bantuan Beras al-It’am serta RM6.75 juta bagi Bantuan Armalah dan Anak Yatim.
Jelasnya, sebanyak RM14.95 juta turut disediakan bagi Bantuan Rumah Dhuafa’, manakala RM14 juta diperuntukkan untuk Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK), termasuk pembangunan projek perumahan di Bunut Susu dan Meranti II.
Tambah beliau, pendidikan dan pembangunan modal insan menerima RM167.83 juta, termasuk RM132 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi menyokong kelangsungan institusi pendidikan Islam negeri.
"Bagi kemudahan awam, sebanyak RM240.6 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan kampung, jalan negeri, jalan pihak berkuasa tempatan serta jalan pertanian.
"Kerajaan negeri turut menyediakan RM27 juta bagi pembangunan Madinatul Riyadhah Bukit Merbau dan RM5.24 juta untuk terminal serta fasiliti pengangkutan awam atau KB Sentral," katanya.
Ujar beliau, dalam sektor ekonomi, RM3.8 juta diperuntukkan bagi program Usahawan Berdikari, RM3 juta untuk Skim Kredit Mikro Usahawan dan RM5.6 juta bagi pembangunan pelancongan serta kebudayaan.
Sementara itu jelasnya, RM10 juta disediakan untuk program Kelantanku Bersih dan Keceriaan Bandar, selain RM4.6 juta bagi inisiatif teknologi hijau termasuk penyediaan 2,000 unit lampu solar.
"Belanjawan 2027 digerakkan menerusi empat teras utama iaitu pemerkasaan agama dan pembangunan modal insan, kesejahteraan sosial dan perlindungan rakyat, ekonomi progresif dan berdaya tahan serta kelestarian alam sekitar dan keindahan bandar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

