Kontroversi KPPA: Tubuh jawatankuasa khas dalaman

Ismail Sabri (tengah) ketika hadir pada Majlis Perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) ketika hadir pada Majlis Perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - [DIKEMAS KINI] Satu jawatankuasa khas dalaman akan ditubuhkan untuk menyiasat kontroversi ‘perbalahan’ antara Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), DatuK Seri Mohd Shafiq Abdullah dan seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali diberi tanggungjawab untuk menentukan pemilihan ahli jawatankuasa itu nanti.

“Kita minta supaya KSN melihat perkara ini dan menubuhkan jawatankuasa di peringkat dalaman untuk menyiasat perkara ini.

“Kita kena berlaku adil kepada semua pihak, yang mengadu, yang diadu. Kita serahkan kepada satu jawatankuasa (yang) akan ditentukan oleh KSN (tentang) siapa pengerusi dan sebagainya.

“Mengenai ahli jawatankuasa itu mungkin daripada luar. Ada yang mencadangkan Peguam Negara sebagai pengerusi (jawatankuasa khas) tetapi saya serahkan kepada KSN (untuk tentukan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Sabtu.

Ditanya sama ada siasatan yang dijalankan oleh jawatankuasa itu bakal mengambil masa lama atau sebaliknya, Ismail Sabri menyatakan harapan agar ia dapat diselesaikan segera.

“Kita serah kepada jawatankuasa untuk mereka siasat, bukan susah sangat sebab saya lihat ada video. Mereka perlu memanggil saksi, kedua-dua belah pihak dan mereka akan buat keputusan.

“Kita bincang supaya tidak timbul perpecahan dalam kakitangan kerajaan. Suasana harmoni dalam kerajaan perlu dikekalkan,” katanya.

Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) pada Rabu lalu, mendakwa Mohd Shafiq menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Ketua Penolong Penguasa Imigresen, James Lee kerana berang tidak diberikan layanan istimewa.

Jabatan Perkhidmatan Awam bagaimana menyangkal tuduhan tersebut.