Cuepacs tuntut permohonan maaf Mohd Shafiq

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Adnan)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Adnan)
A
A
A

PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut permohonan maaf daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Ia susulan Ketua Penolong Penguasa Imigresen, James Lee didakwa ditengking Mohd Shafiq dalam satu insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat menerusi kenyataannya memaklumkan, sebagai seorang pegawai tertinggi kerajaan, Mohd Shafiq perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada pegawai bawahan.

"Adalah amat malang jika seseorang pegawai tertinggi di dalam kerajaan memerlukan layanan bertaraf VVIP sedangkan beliau harus menyantuni pegawai kita dengan bijaksana serta memahami tugasan mereka di lapangan, bukannya memalukan pegawai tersebut di depan khalayak ramai seperti yang didakwa oleh pihak Kesatuan Kakitangan Imigresen," katanya pada Khamis.

Menurutnya, prinsip Keluarga Malaysia yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seolah-olah tidak dihayati dan diamalkan oleh KPPA malahan tindakan itu disifatkan boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam.

"Kita harus ingat, pada masa lalu sebuah kerajaan negeri pernah mengambil tindakan yang kurang wajar dengan memberikan penyapu kepada penjawat awam dalam satu majlis dan akhirnya menimbulkan rasa tidak senang," katanya.

Beliau berkata, pegawai yang tidak menghayati falsafah dan mengamalkan semangat Keluarga Malaysia tidak sepatutnya berada dalam perkhidmatan awam.

"Cuepacs amat berharap agar Ismail Sabri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dapat mengambil tindakan segera demi menjaga kebajikan serta mengekalkan keharmonian penjawat awam, seterusnya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Pada Rabu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mendakwa Mohd Shafiq menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap James kerana berang tidak diberikan layanan VVIP.

Jabatan Perkhidmatan Awam bagaimana menyangkal tuduhan tersebut.