Nafi Mohd Shafiq keluar kata-kata kesat terhadap pegawai imigresen

 Mohd Shafiq
Mohd Shafiq
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan tuduhan Ketua Pengarahnya (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada awal pagi Khamis, JPA menjelaskan Mohd Shafiq telah membuat teguran terhadap imigresen khususnya Ketua Penolong Penguasa Imigresen, James Lee berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur.

"Pegawai imigresen tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara," katanya.

Malahan, kata JPA, delegasi tersebut diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan.

"JPA berpandangan bahawa ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan yang serius di sisi udang-undang," katanya.

Tegas jabatan itu, pegawai yang tidak mematuhi peraturan imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib.

Menurutnya JPA, teguran dibuat Mohd Shafiq tidak dibuat di khalayak ramai malah KPPA hanya menasihatkan pegawai supaya mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu-isu sedemikian dengan berhemah.

"Jabatan ini amat kesal dengan kenyataan-kenyataan palsu yang tular di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Justeru, JPA ingin mengesyorkan supaya perkara ini disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan," katanya.

Sebelum ini tular dakwaan Mohd Shafiq menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap James dalam kejadian yang berlaku antara 8.40 hingga 9.40 pagi di KLIA.