Taktik tinggal dadah tengah laut

Operasi khas Maritim berjaya mengesan pergerakan masuk sebuah bot fiber dari negara jiran pada kedudukan 2.26 batu nautika barat laut muara Kuala Perlis sekitar jam 1.42 pagi. (Gambar kecil: Mohd Zubil)
Operasi khas Maritim berjaya mengesan pergerakan masuk sebuah bot fiber dari negara jiran pada kedudukan 2.26 batu nautika barat laut muara Kuala Perlis sekitar jam 1.42 pagi. (Gambar kecil: Mohd Zubil)
A
A
A

SHAH ALAM - Seiring dengan perkembangan arus semasa, taktik digunakan sindiket penyeludupan dadah juga menggunakan kaedah makin licik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebagai elemen penguatkuasaan negara juga agresif dalam memerangi penyeludupan dadah melalui jalan laut.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som mendedahkan sindiket menggunakan taktik terbaharu dengan meninggalkan dadah di tengah laut sebelum diambil oleh individu lain.

Taktik pick and drop ini dipercayai dijalankan lebih pantas kerana tidak melibatkan banyak lokasi.

“Dadah akan ditinggalkan di suatu lokasi yang ditanda di tengah laut dan akan diambil oleh sindiket lain.

“Mereka dipercayai menggunakan bot gentian kaca yang laju bagi mengambil atau menghantar dadah di laut dan mengubah lokasi transaksi bagi mengelak dikesan oleh penguat kuasa,” katanya menerusi temu bual eksklusif bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Antara dadah yang berjaya dirampas menerusi serbuan dijalankan Maritim Malaysia baru-baru ini.
Antara dadah yang berjaya dirampas menerusi serbuan dijalankan Maritim Malaysia baru-baru ini.

Dadah yang berada di pasaran Malaysia dipercayai adalah berasal dari Thailand, Myanmar dan Laos yang merupakan negara pengeluar utama dadah terutamanya jenis syabu.

Mohd Zubil berkata, kebanyakan dadah tersebut akan diseludup masuk ke Malaysia sebagai transit sebelum ia diseludup keluar ke negara lain yang bersempadan dengan Malaysia.

“Negeri yang berhampiran dengan sempadan negara di bahagian utara Malaysia seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan menjadi pintu masuk bagi aktiviti penyeludupan dadah dari darat dan laut.

“Di selatan Malaysia iaitu Tanjung Keling di Melaka, Batu Pahat, Muar, Tanjung Piai dan Pengerang di Johor pula menjadi laluan untuk menyeludup keluar dadah bagi pasaran negara jiran iaitu Indonesia. Ada juga kes yang berlaku sehingga ke pantai Selangor.

“Bagi kawasan sebelah Timur Sabah juga iaitu Semporna, Lahad Datu dan Tawau juga menjadi pintu keluar bagi penyeludupan dadah untuk pasaran negara jiran,” katanya.

Jelasnya, kesemua lokasi tersebut adalah berdekatan dengan sempadan perairan negara jiran dan hanya mengambil masa yang singkat untuk menyeludup keluar atau masuk dadah.

“Bagaimanapun, sindiket penyeludupan dadah yang menggunakan jalan laut agak sukar dikesan memandangkan kawasan yang luas dan memerlukan tumpuan yang khusus berdasarkan maklumat risikan,” katanya.

Tambah beliau, keperluan menggunakan tonto untuk memastikan penyeludupan dadah ini berjalan lancar sememangnya tidak dapat dinafikan.

“Sindiket menggunakan rangkaian komuniti maritim yang lain untuk mendapatkan maklumat berkaitan pergerakan kapal atau bot penguat kuasa dalam melakukan operasi di laut,” ujarnya.

Dalam pada itu, berdasarkan risikan pihak maritim, Mohd Zubil berkata, sindiket penyeludupan dadah dan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah organisasi yang berbeza.

Jelasnya, ini kerana modus operandi yang digunakan mereka adalah berlainan dari segi jenis dan saiz bot untuk mengangkut barang yang diseludup,” katanya.

Rondaan serta pemantauan sememangnya dijalankan Maritim Malaysia pada setiap masa.
Rondaan serta pemantauan sememangnya dijalankan Maritim Malaysia pada setiap masa.

Wujud jaringan sindiket luar

Dedah beliau, kegiatan penyeludupan rentas sempadan ini mewujudkan jaringan sindiket di antara negara Malaysia dan negara luar yang bersempadan dengan negara kita.

“Rangkaian sindiket ini wujud bagi memudahkan aktiviti penyeludupan dadah untuk memenuhi permintaan dadah di negara tersebut.

“Setakat ini agak sukar untuk menjejak dalang utama kerana kelicikan sindiket tersebut yang bijak menggunakan transporter berlainan untuk setiap aktiviti mereka,” katanya.

Katanya, kebanyakan transporter yang telah ditangkap hanya mengambil upah untuk menyeludup dadah tersebut.

“Siasatan dijalankan mendapati, mereka ini menjalankan aktiviti tanpa mengetahui dengan siapa mereka berurusan sekali gus menyukarkan kami untuk menjejaki dalang utama berserta rantaian sindiket tersebut.

“Bagaimanapun, pengumpulan maklumat risikan giat dijalankan bagi mengenal pasti dalang sindiket penyeludupan dadah ini,” katanya.

Antara dadah yang dirampas Zon Maritim Batu Pahat ketika operasi
di perairan Muar pada Selasa.
Antara dadah yang dirampas Zon Maritim Batu Pahat ketika operasi di perairan Muar pada Selasa.

Rampas dadah cecah RM173 juta Mohd Zubil berkata, bagi tempoh sejak tahun 2020 hingga Julai tahun ini, pihaknya merekodkan 56 tangkapan terdiri daripada 29 warga tempatan dan 21 warga asing.

Katanya, hasil tangkapan itu membawa rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM173 juta.

Ujar beliau lagi, beberapa siri rampasan terbesar direkodkan pihaknya antaranya, penyeludupan dadah di perairan Kedah/Perlis di mana tangkapan melebihi RM15 juta sepanjang tahun 2021 meliputi rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan 1,000 kilogram.

“Rampasan dan tangkapan dadah terbesar di perairan di Pulau Pinang melibatkan jumlah rampasan sebanyak dua tan dadah jenis syabu yang nilainya melebihi RM116 juta pada hujung tahun 2020,” katanya.

Mohd Zubil berkata, penyeludupan dadah merupakan isu yang amat besar dan memerlukan tindakan secara intensif bagi memastikan kegiatan ini dapat dilumpuhkan.

“Bagi merealisasikan perkara ini, kita telah melakukan siasatan lanjut dengan menggunakan kemahiran detektif dan forensik bagi membanteras rangkaian sindiket sehingga ke akar umbi.

“Selain itu maklumat risikan dan aduan komuniti maritim sentiasa diambil serius bagi membanteras aktiviti pe nyeludupan dadah.

“Masyarakat terutama komuniti maritim merupakan antara elemen penting dalam memastikan usaha membanteras penyeludupan dadah ini dapat diatasi sepenuhnya,” katanya.

Mohd Zubil berkata, menjadi satu perkara yang amat sukar sekiranya tiada kerjasama erat daripada masyarakat dalam menyalurkan maklumat dan informasi kepada pihak berkuasa.

“Usaha membanteras pelbagai elemen jenayah termasuk penyeludupan dadah merupakan perkara yang amat penting.

“Sebarang maklumat kegiatan jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03- 89434001 atau mana-mana Pusat Operasi Maritim (PUSOP) berhampiran di setiap maritim negeri seluruh negara,” katanya.