Riuh Nau Melaka sasar 20,000 pengunjung

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (tiga, kanan) bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tiga, kiri) menyempurnakan acara perasmian sempena Majlis Perasmian Kembara Riuh Keluarga Malaysia Edisi Ketiga: "Riuh Nau" di Dataran Pahlawan dekat Bandar Hilir, pada Jumaat. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (tiga, kanan) bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tiga, kiri) menyempurnakan acara perasmian sempena Majlis Perasmian Kembara Riuh Keluarga Malaysia Edisi Ketiga: "Riuh Nau" di Dataran Pahlawan dekat Bandar Hilir, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyasarkan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung ke Kembara Riuh Keluarga Malaysia edisi ketiga iaitu ‘Riuh Nau! yang bermula hari ini (Jumaat) hingga 7 Ogos di Dataran Pahlawan, Melaka.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata, ia sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk menyemarakkan semula industri seni dan budaya kreatif ketika fasa peralihan ke endemik, memandangkan pentingnya industri ini dalam pembangunan negara.

"Kembara Riuh Keluarga Malaysia ke seluruh negara yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) merupakan platform penyampaian maklumat mengenai inisiatif kerajaan dalam memacu industri ini.

"Selain menggerakkan para penggiat seni untuk menjana pendapatan daripada hasil seni kreatif dan secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi negara, ia juga menunjukkan kerajaan komited dalam mengiktiraf industri kreatif sebagai salah satu industri strategik yang berimpak tinggi dan diberi tumpuan khusus di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12)," katanya dalam kenyataan malam Jumaat.

Jelasnya usaha membangunkan ekosistem kreatif tempatan dilaksanakan segera melalui jalinan strategik yang menggabungkan pencipta jenama, usahawan kreatif dan artis dengan komuniti setempat.

"Justeru, program Riuh yang sebelum ini hanya tertumpu di kawasan Lembah Klang, telah melebarkan sayap ke Ayer Hitam, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah pada tahun ini melalui siri Kembara Riuh Keluarga Malaysia dalam usaha membantu penggiat industri seni terutama yang terjejas akibat pandemik Covid19," katanya.

Annuar berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap kelangsungan industri kreatif negara, malah sejak penubuhan MyCreative pada tahun 2012 sehingga kini, bantuan kewangan berbentuk pinjaman dan geran sebanyak RM447.7 juta telah memberi manfaat kepada seramai 949 penggiat dan usahawan industri kreatif.

Selain itu katanya RM10.93 juta juga disalurkan bagi tujuan pembangunan industri kreatif yang telah membantu lebih daripada 900 penggiat dan usahawan dari pelbagai dimensi industri kreatif termasuk filem, kandungan kreatif, muzik, seni persembahan, seni visual, sastera dan seni reka yang membolehkan penggiat serta pekerja di belakang tabir menjana pendapatan.

"Potensi industri ini perlu dioptimumkan sebaik-baiknya agar hasrat Kerajaan yang menyasarkan sumbangan 20 peratus industri kreatif tempatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan anggaran RM31.9 bilion menjelang tahun 2025 dapat direalisasikan," katanya.

Annuar turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Kerajaan Negeri Melaka selaku tuan rumah yang bekerjasama dengan pihak kementerian dalam penganjuran edisi Riuh Nau! kali ini. - Bernama