Banyak program boleh diatur antara K-KOMM, kerajaan Melaka

Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kerjasama erat antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan Kerajaan Negeri Melaka memungkinkan kedua-dua pihak mengatur lebih banyak rancangan untuk kebaikan rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa berkata, ia termasuklah penganjuran sambutan Hari Malaysia pada bulan hadapan dan Festival Filem Malaysia pada penghujung tahun ini.

"K-KOMM akan sekali lagi, pada bulan hadapan bersama lagi di Melaka dalam sambutan besar-besaran Hari Malaysia, malah kita berasa bangga untuk melihat negeri Melaka sebuah negeri yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dan acara-acara, malah senyum Malaysia bermulanya dengan senyum lebarnya rakyat di negeri Melaka ini.

Saya percaya kerjasama erat antara K-KOMM serta Kerajaan Negeri Melaka memungkinkan kita untuk mengatur banyak lagi rancangan-rancangan termasuklah insya-Allah pada penghujung tahun ini, negeri Melaka akan pula menjadi tuan rumah kepada Festival FIlem Malaysia yang akan diadakan dengan penuh kemeriahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kembara RIUH Keluarga Malaysia Edisi Ketiga: RIUH NAU! di Dataran Pahlawan di sini malam Jumaat.

Majlis yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali itu turut dihadiri Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Ketua Setiausaha K-KOMM Datuk Seri Mohammad Mentek.

Mengulas mengenai Kembara RIUH, Annuar berkata ia memberi peluang untuk mencungkil bakat baharu dalam industri kreatif negara di setiap negeri yang dijelajahinya.

"Atas sebab itulah K-KOMM mengambil suatu inisiatif bukan sahaja untuk menghidupkan kegiatan industri kreatif di ibu kota Kuala Lumpur, tetapi sebaliknya kita bawa dalam satu siri jelajah dari satu negeri ke satu negeri, bagi membolehkan kita memberikan peluang serta mencungkil bakat-bakat industri kreatif dalam pelbagai bidang yang ada di setiap negeri.

Adalah menjadi harapan saya agar industri kreatif akan berkembang sebagai satu lagi cabang industri yang turut berkembang sama sewaktu negara menuju era the Revolusi Perindustrian Keempat tetapi saya yakin industri kreatif akan kekal berperanan penting dan mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk dikembangkan dan memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya.

Kembara RiUH Keluarga Malaysia itu, yang menghimpunkan usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan, dijangka mampu mewujudkan sekurang-kurangnya 7,000 peluang pekerjaan di 14 lokasi di seluruh negara selain menyokong lebih 5,000 perniagaan tempatan.

Ia juga selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan sumbangan industri kreatif kepada KDNK iaitu sebanyak 20 peratus dengan anggaran RM31 bilion menjelang 2025. - Bernama