Langkah wujudkan Mahkamah Anti Rasuah tepat

Muhammad Fathi (gambar kecil) menyambut baik cadangan terhadap penubuhan Mahkamah Anti Rasuah di negara ini.
Muhammad Fathi (gambar kecil) menyambut baik cadangan terhadap penubuhan Mahkamah Anti Rasuah di negara ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Langkah mewujudkan Mahkamah Anti Rasuah di Malaysia adalah bertepatan dalam membolehkan kes jenayah rasuah dikendalikan khusus oleh mahkamah atau hakim yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

Pensyarah dan Penyelidik di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, pihaknya menyambut baik cadangan terhadap penubuhan institusi tersebut di negara ini.

“Bagaimanapun, cadangan itu tertakluk kepada kesediaan badan kehakiman terutama dari kecukupun sumber manusia dan juga kepakaran yang ada pada hakim-hakim di negara kita.

“Paling penting adalah hakim yang mengendalikan kes rasuah mempunyai pengalaman dan pengetahuan mendalam berkaitan jenayah tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim mengesyorkan Mahkamah Anti Rasuah diwujudkan di negara ini.

Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara menambah, syor mewujudkan Mahkamah Anti Rasuah berkait langsung dengan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 negara yang terus jatuh ke tangga 62.

Tambahnya lagi, penubuhan institusi itu boleh meningkatkan persepsi masyarakat terhadap usaha kerajaan membanteras jenayah rasuah selain memastikan negara mempunyai kepakaran bagi mengendalikan sebuah mahkamah yang khusus untuk menangani masalah rasuah di negara ini.

Bagaimanapun, Muhammad Fathi berkata, perkara paling penting dalam usul untuk menangani rasuah di Malaysia adalah soal kecekapan dan ketelusan badan penguat kuasa rasuah iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertindak sebagai badan bertanggungjawab untuk menangani rasuah.

“SPRM mempunyai kewajipan untuk memiliki tahap integriti yang tinggi. Ini bermaksud setiap anggota dan peneraju SPRM bukan sahaja bersih tetapi juga kelihatan bersih serta tidak meragukan dan bebas daripada skandal berkaitan rasuah,” ujarnya.