Mahkamah Anti Rasuah perlu diwujudkan

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) mengesyorkan Mahkamah Anti Rasuah diwujudkan di negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Rais Yatim berkata, ia perlu diwujudkan di semua peringkat penghakiman iaitu daripada Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Menurutnya, penubuhan institusi itu juga perlu membabitkan hakim berkepakaran jenayah rasuah yang tidak boleh ditukar ganti sewenang-wenangnya.

“Dengan hakim-hakim berpakaran tidak ditukar ganti mengikut musim.

“Ini akan memberi satu suasana ketetapan, kepakaran, juga kejituan mahkamah itu khusus mengenai rasuah,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen pada Khamis.

Terdahulu, Rais menyerahkan Buku Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JKMR) tahun 2020 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penyerahan buku laporan tersebut selaras dengan Seksyen 14 (5) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan JKMR perlu menyediakan dan menyerahkan laporan tahunan mengenai penunaian fungsi Jawatankuasa Khas kepada Perdana Menteri.

Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara menambah, syor mewujudkan Mahkamah Anti Rasuah berkait langsung dengan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 negara yang terus jatuh ke tangga 62.

“Justeru ini perlu diambil kira. Kami telah kemukakan dan ini merupakan salah satu cabaran besar dan mendapat perhatian kerajaan,” katanya.

Tambahnya, antara isu lain yang dibangkitkan pihaknya berkaitan penyerahan laporan berkenaan adalah agar prosedur dan jaminan penyimpanan barang kes oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diurus tadbir dan disimpan oleh Bank Negara atau bank bertauliah bagi tujuan mengelakkan barang kes hilang atau dicuri.

“Isu lain adalah ketidakseragaman tindakan dalam menguatkuasakan penggunaan pakaian warna oren kepada tertuduh jenayah rasuah.

“Sesetengah dikenakan baju lokap SPRM warna oren sementara yang lain dibenarkan berpakaian segak kot dan tali leher,” ujarnya.