Pastikan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas dilantik 'bersih'

Dewan Rakyat pada 2 Ogos lalu meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.
Dewan Rakyat pada 2 Ogos lalu meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 200 aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan menggesa agar pemilihan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas yang bakal meneliti Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 terdiri daripada individu bebas daripada penglibatan dengan pihak berkepentingan.

Wakil kumpulan pendesak tersebut yang juga Pengarah Urusan National Cancer Society Malaysia (NCSM), Dr Murallitharan Munisamy berkata, setiap ahli Parlimen juga perlu mengisytiharkan sekiranya mereka memiliki sebarang penglibatan bersama syarikat rokok mahupun rokok elektronik.

Katanya, ini kerana ahli Dewan Rakyat perlu menghormati Perjanjian WHO Framework Convention on Tobacco Control yang ditandatangani Malaysia.

Beliau menjelaskan, Artikel 5.3 perjanjian itu menyatakan bahawa dalam menetapkan dan melaksanakan dasar kesihatan awam berkenaan kawalan tembakau, pihak terbabit perlu bertindak melindungi dasar tersebut daripada kepentingan komersial serta kepentingan lain industri tembakau mengikut undang-undang negara.

“Kami menggesa agar Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas dilantik terdiri daripada parti politik, mestilah bersih daripada penglibatan dengan mana-mana pihak berkepentingan yang melebihkan keuntungan duit daripada kesihatan awam.

“Pemilihan pakar juga mestilah bebas daripada mana-mana kepentingan dan dipilih berdasarkan kelayakan kepakaran dalam bidang masing-masing.

“Perlu ditegaskan tiada istilah pakar vape atau pakar rokok elektronik yang bersandarkan keuntungan semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Antara NGO terbabit ialah Malaysian Women's Action for Tobacco Control and Health (MyWATCH), IKRAM Health Malaysia, NCSM, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Dewan Rakyat pada 2 Ogos lalu meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

RUU yang masih di peringkat bacaan kali kedua itu, diluluskan sebulat suara, selepas perbahasan membabitkan 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, digulung Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Dalam pada itu, Dr Murallitharan berkata, pihaknya amat berdukacita terhadap perkembangan tersebut kerana berpandangan RUU itu digubal dengan mendalam, sempurna dan berasaskan kajian saintifik yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Namun, ia telah dinafikan oleh sesetengah ahli Parlimen dengan memberikan pelbagai alasan yang akhirnya telah melengah-lengahkan dan serta memperjudikan masa hadapan kesihatan rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa RUU itu tidak sepatutnya ditangguhkan lagi pelaksanaannya selepas Oktober ini.