Persatuan Pengguna Pulau Pinang kecam pelobi industri tembakau

Mohideen
Mohideen
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengecam tindakan pelobi industri tembakau yang disifatkan secara terang-terangan cuba campur tangan dalam usaha pihak kerajaan untuk meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader yang menyambut baik RUU itu berkata, tindakan terang-terangan pelobi itu juga adalah 'gangguan' yang melanggar peruntukan utama dalam Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) dan turut meminta ahli Parlimen segera mengisytiharkan kepentingan mereka atau pegawai dan pekerja mereka dalam industri tersebut.

"Menyedari kuasa pengaruh dan campur tangan industri tembakau, Perkara 5.3 dengan jelas menyatakan bahawa dalam menetapkan dan melaksanakan dasar kesihatan awam mereka yang berkenaan dengan kawalan tembakau, hendaklah bertindak untuk melindungi dasar ini daripada kepentingan komersial dan kepentingan lain industri tembakau mengikut undang-undang negara," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Beliau berkata lagi, pada November 2008, pihak FCTC menerima pakai garis panduan untuk melaksanakan Perkara 5.3 mengenai perlindungan dasar kesihatan awam berkenaan dengan kawalan tembakau daripada kepentingan komersial dan kepentingan lain industri tembakau.

Mengulas lanjut, pembentangan RUU tersebut merupakan langkah penting dalam melaksanakan tanggungjawab Malaysia di bawah FCTC dan ia merupakan perjanjian pertama dirundingkan di bawah naungan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterima pakai pada 2003.

Katanya, Malaysia adalah sebahagian daripada proses bersejarah itu dan pada 16 September 2005, kerajaan telah mengesahkan FCTC, sekali gus RUU 2022 itu disifatkan sudah lama tertangguh.

Selain itu katanya, dalam membawa Rang Undang-undang 2022 itu ke hadapan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhak untuk menjaga kesihatan semua rakyat Malaysia dengan melaksanakan kewajipan antarabangsanya yang mengikat secara sah.

"KKM juga perlu melindungi generasi akan datang apabila memperkenalkan peruntukan generasi penamat (GEG) untuk semua rakyat Malaysia yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

"Pemantauan CAP terhadap industri tembakau selama ini telah mendedahkan banyak telatah industri untuk memintas malah menumbangkan pelaksanaan FCTC dan ini juga dilihat di negara-negara di seluruh dunia," katanya.

Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membentangkan untuk kali pertama Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok yang turut memperuntukkan cadangan Generational End Game (GEG) atau generasi penamat bertujuan untuk menghapuskan tabiat merokok dan melindungi kesihatan rakyat Malaysia di Dewan Rakyat.

Undang-undang itu akan terpakai kepada mereka yang lahir pada 2007 dan seterusnya, dan bukan 2005 seperti yang dicadangkan sebelum itu.

Jika diluluskan, Malaysia bukan sahaja akan mengharamkan merokok tetapi juga melarang pemilikan produk tembakau dan vape oleh mereka yang lahir selepas 2007.