RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 jadi tumpuan

Topik mengenai Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 terus menjadi tumpuan susulan bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Isnin. Foto: 123RF
Topik mengenai Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 terus menjadi tumpuan susulan bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Isnin. Foto: 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Topik mengenai Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 terus menjadi tumpuan susulan bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi syor agar kerajaan merujuk Rang Undang-Undang tersebut ke sebuah Jawatankuasa Pilihan yang dinamakan Jawatankuasa Khas Parlimen untuk membuat syor mengenai dua perkara.

Syor tersebut termasuk meneliti dan memberi pengkhususan ke atas isu-isu keperlembagaan, penguatkuasaan, serta perkara-perkara yang berkaitan pelaksanaan kawalan produk tembakau dan merokok.

Selain itu, kerajaan juga disaran menyediakan satu penyata yang mengandungi cadangan Rang Undang-Undang berkaitan kawalan produk tembakau dan merokok atau yang berkaitan dengannya dalam tempoh satu bulan atau dilanjutkan jika perlu

"Keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini dicadangkan terdiri daripada sejumlah Ali Dewan Rakyat yang mewakill semua parti dan diketuai oleh Menteri Kesihatan,"katanya.

Anwar menyatakan perkara itu menerusi surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertarikh 1 Ogos selain menyatakan bahawa ahli-ahli Parlimen pembangkang secara prinsip menyokong RUU tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika bacaan kali kedua RUU berkenaan memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju meminda kuantum denda bagi kesalahan dilakukan generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya atau dikenali Generasi Penamat (GEG) dalam RUU itu, kepada RM500 atau perintah khidmat masyarakat berbanding peruntukan asal sebanyak RM5,000.

Ia bagi memastikan akta yang berkuat kuasa selepas ini tidak dilihat bersifat punitif.

"Malah apa-apa kesalahan yang dilakukan golongan ini akan terlebih dahulu ditawarkan kompaun,” katanya.

Keputusan itu susulan perbincangan dan persetujuan serta kompromi secara bersama antara KKM dan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial Parlimen.

Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (JKPK) Parlimen Keempat Belas dalam reaksi balas juga sedia membantu sekiranya wujud keperluan penubuhan satu lagi jawatankuasa Parlimen untuk menilai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 agar selaras dengan Akta Kanak-Kanak [Akta 611] dan United Nations.

Pengerusinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang telah bersetuju meminda sebahagian daripada RUU tersebut, mengambil kira pandangan dan input 'bi-partisan' dari JKPK.

"Walau bagaimanapun, JKPK memahami bahawa cadangan-cadangan pemindaan kepada RUU yang dibekalkan kepada pihak KKM hari ini seharusnya juga melalui proses libat urus bersama pemegang taruh.

"Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, badan-badan bukan kerajaan, wakil kanak-kanak dan sebagainya,"katanya.

Sementara itu, berlaku nahas membabitkan pesawat ringan terhempas di Ipoh pada malam isnin.

Seorang jurulatih penerbangan dilaporkan maut manakala rakannya terselamat dalam kemalangan di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng itu.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan kemalangan berkenaan melibatkan pesawat yang sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji.

Ketua Pegawai Eksekutifnnya, Datuk Kapten Chester Voo berkata, Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Ipoh telah menerima panggilan kecemasan pada jam 8:07 malam.

"Jenis pesawat yang terlibat adalah Piper 28-161, pendaftaran 9M-BAA berkenaan dikendalikan oleh BATS Aviation Sdn Bhd," katanya.

Susulan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberi jaminan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) akan menyiasat nahas tersebut dengan mendalam.

"Kejadian yang berlaku ini amat tragis dan kami akan melakukan yang terbaik untuk mengenal pasti punca kemalangan,"katanya.