'Selagi tiada pendakwaan, selagi itulah cetus polemik'

Pemuda UMNO gesa SPRM segera selesaikan siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) bagi kegunaan TLDM. (Gambar kecil: Asyraf Wajdi)
Pemuda UMNO gesa SPRM segera selesaikan siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) bagi kegunaan TLDM. (Gambar kecil: Asyraf Wajdi)
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera menyelesaikan siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, difahamkan laporan SPRM telah pun dibuat sejak tahun lepas, namun sehingga kini belum ada apa-apa maklumat mengenai hasil siasatan atau tindakan di peringkat Peguam Negara.

Menurutnya, jika wujud sebarang salah laku, penyelewengan mahupun unsur-unsur rasuah, pihak SPRM harus segera mengambil tindakan tegas.

“Pemuda UMNO menggesa SPRM segera menyelesaikan siasatan bersandarkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir bagi kegunaan TLDM yang dianugerahkan kepada Syarikat Milik Kerajaan (GLC) Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

“Kami beranggapan, jika wujud sebarang salah laku, penyelewengan mahupun unsur-unsur rasuah, pihak SPRM harus segera mengambil tindakan tegas dan pantas membawanya ke pihak Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya termasuk pendakwaan.

“Selagi tiada pendakwaan mahupun tindakan tegas undang-undang bagi sebarang bentuk salah laku, selagi itulah pelbagai polemik bakal timbul seolah-olah kepincangan didiamkan dan dibiarkan berlaku begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh pada Khamis dilaporkan berkata, kontrak projek LCS diberikan oleh kerajaan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) secara rundingan terus.

Selain itu, kerajaan terpaksa membuat bayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam maklum balasnya berkata, Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mematuhi semua syor yang dikemukakan dalam PAC berhubung perolehan LCS bagi meneruskan projek kapal berkenaan pada masa hadapan.

Beliau menambah, Mindef dan semua pemegang taruh terlibat juga akan meneliti laporan berkenaan untuk tindakan lanjut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!