Skandal LCS: SPRM ada cukup bukti untuk dakwa suspek

Ikmal Hisham
Ikmal Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan mempunyai bukti mencukupi bagi membawa pertuduhan terhadap beberapa individu yang terlibat dalam skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, SPRM dilapor telah menyelesaikan beberapa bahagian kes skandal terbabit.

“Dan telah mencadangkan pertuduhan terhadap suspek.

“Oleh itu, kini sudah tentulah seterusnya di Jabatan Peguam Negara untuk memutuskan tindakan seterusnya,” katanya sewaktu pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) yang bertanyakan tindakan Kementerian Pertahanan terhadap salah laku dan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kelewatan penyiapan LCS.

Ikmal Hisham dalam masa sama turut mengalu-alukan mana-mana pihak jika terdapat bukti baharu atau maklumat tambahan untuk melapor terus kepada pihak berkuasa.

Katanya, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga berkali-kali menyatakan bahawa tidak akan sesekali mempertahankan serta berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dalam perolehan LCS.