Pengusaha industri halal digesa terima Industri 4.0

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemain industri halal digesa menerima pakai teknologi baharu Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) yang berpotensi memberi banyak manfaat kepada perkembangan sektor berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata antara teknologi yang boleh diterokai oleh pemain industri ialah Internet of Things, blockchain, teknologi nano, Data Raya dan teknologi mudah alih.

“Malah, aplikasi telefon mudah alih bagi isu-isu halal sudah menjadi perkara biasa sekarang sama ada membantu pelawat mencari tempat makan halal, masjid dan arah kiblat mahupun menyemak silang pengesahan sijil halal seperti aplikasi Verify Halal oleh Jakim,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global 2018 (GHaS 2019) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Lebih 40 negara menyertai GHaS 2019 yang yang bertemakan “Halal Connecting The World".

GHaS merupakan platform terbesar pemain industri halal dunia untuk berbincang, berkongsi pengetahuan serta membentuk rangkaian perniagaana dan meneroka peluang untuk meningkatkan lagi komuniti halal demi faedah masyarakat secara global.

Menurut Mujahid, impak revolusi itu termasuklah meningkatkan taraf hidup, memperkukuh keselamatan dan perlindungan serta menambah baik kapasiti sesebuah masyarakat itu secara ketara.

Malah jelasnya, industri halal perlu memanfaatkan potensi itu dalam usaha untuk terus mencatatkan pertumbuhan di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, beliau berkata sekurang-kurangnya 10,000 syarikat tempatan dan antarabangsa telah memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sehingga Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Untuk menggalakkan syarikat luar mendapatkan sijil halal, Jakim telah membuka peluang pensijilan antarabangsa dan turut mengiktiraf sebanyak 78 badan pensijilan dan logo halal luar negara dari 45 negara.

Mujahid turut berbangga dengan sambutan baik GHaS 2019 yang membuktikan industri halal mencatat momentum peningkatan di peringkat antarabangsa selain membuka peluang kepada semua pihak mengukuhkan hubungan dan rangkaian perniagaan antara agensi kerajaan serta pengiat industri.

“Kelebihan ini boleh diguna untuk mengukuhkan lagi pertumbuhan baik ekonomi masyarakat Islam di seluruh dunia dan saya berharap acara ini akan diteruskan pada masa depan dan menjadi acara tahunan negara,” katanya. -Bernama